• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bangunan Sekolah Islam Dikenal Pasti

Kerajaan Tengganu dijangka menubuhkan sekolah rendah dan menengah Islam tahun depan dan kini sedang mengenal pasti tempat dan bangunan yang sesuai untuk tujuan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Belia,  Sukan dan NGO negeri,  Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  Kerajaan sedang mengenal pasti bangunan kosong milik kerajaan di setiap daerah untuk dijadikan bangunan sekolah berkenaan.

Ustaz Wan Sukairi (dua, kanan) menyampaikan sijil kepada Muhammad Azrul Aminnur Mat Lazim (kanan) pelajar hafiz  terbaik Komples Anak Yatim Tahfiz Darul Hijrah Chendering Kuala Terengganu.

  Katanya,  Kerajaan menjangkakan sekolah Islam berkenaan akan mendapat sambutan hangat di kalangan rakyat beragama Islam di negeri ini.

  Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Huffazul Quran Kali Pertama di Kompleks Anak Yatim Tahfiz Darul Hijrah Chendering di sini pada 11 Ogos.

  Turut hadir, Penolong Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Encik Muhammad Al-Hafiz Karim dan  Pengerusi Darul Hijrah, Ustaz Wan Muhammad Mizan Wan  Abdul Latiff.

  Seramai 14 pelajar menerima sijil masing-masing dari Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam dalam majlis konvokesyen berkenaan.

  Ustaz Wan Sukairi seterusnya berkata,  Kerajaan Terengganu di bawah PAS pernah menubuhkan sekolah rendah Islam ketika pemerintahannya dalam tahun 1999 hingga 2004.

  Namum selepas diambil alih oleh Barisan Nasional (BN) tahun 2004, sekolah berkenaan ditutup.

  "Kini kerajaan merancang untuk menghidupkan semula sekolah berkenaan mulai tahun hadapan dengan mensasarkan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN)  ditubuhkan sekolah rendah Islam manakala setiap parlimen dibina sebuah sekolah menengah.

  "Itulah sasaran kerajaan sebagaimana termaktub dalam manifesto PAS menjelang PRU14 yang lalu, " jelasnya.

  Negeri Terengganu mempunyai lapan kawasan parlimen dan 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tag: