• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir, ATM Bantu Usung Jenazah

HULU TERENGGANU, 25 Januari - Jenazah seorang wanita berusia lingkungan 80-an terpaksa dibawa ke tanah perkuburan menggunakan bot Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) hari ini berikutan kawasan kediamannya di Kampung Bukit Tadok dilanda banjir.

Pegawai Memerintahnya, Leftenan Kolonel Mohd Zaki Jusoh, berkata pihaknya menerima permohonan bantuan menguruskan jenazah Kalthom Mat, 84, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada jam 9 pagi tadi.

“Kami dimaklumkan oleh keluarga arwah mengenai jalan di kampung itu yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan akibat dinaiki air sedalam 0.2 hingga 0.5 meter.

"25 anggota Lain-lain Pangkat yang diketuai oleh Mejar Shah Hadi  Shah Budin membawa jenazah menggunakan trak dari rumah arwah ke masjid untuk pengurusan jenazah seterusnya membawa jenazah menggunakan bot ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tadok," ujarnya

Tambah Mohd Zaki, pihaknya juga tidak ketinggalan memberi bantuan kepada mangsa- mangsa banjir di Terengganu dengan kehadiran mereka di lokasi-lokasi yang terlibat.

Sementara itu, anak lelaki arwah, Mat Sudin Mustafa, 63, berkata laluan keluar ke tanah perkuburan dan masjid mula dinaiki air sejak semalam menyebabkan keluarganya mengalami kesulitan untuk membawa keluar jenazah.

"Agak buntu pada mulanya memikirkan bagaimana nak uruskan jenazah ibu tetapi tak lama kemudian penghulu memaklumkan anggota ATM sedia membantu untuk membawa keluar arwah ibu ke Masjid Kampung Bukit Tadok untuk dimandi dan dikafankan seterusnya ke kubur.

"Alhamdulillah dan terima kasih ATM sebab sudi bantu kami sekeluarga, sanggup harungi banjir sedalam lebih satu meter mengusung arwah ibu sebelum dibawa dengan trak, dan akan harungi sekali lagi banjir menggunakan bot untuk ke kubur nanti,"katanya.