• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir Baling: Terengganu Salur Lebih RM155,000

KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Terengganu melalui kerajaan negeri dan PAS Terengganu menyalurkan bantuan lebih RM155,000 kepada Kedah yang dilanda banjir lumpur baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan tersebut melibatkan wang tunai serta barangan keperluan bencana yang diserahkan kepada Menteri Besar Kedah.

“Kerajaan negeri memberi RM50,000 dan bagi pihak PAS negeri Terenggan juga memberi RM50,000 selain bahan bahan makanan dan keperluan yang dibawa.

“Sehingga kita mendapat maklum balas baharu bahawa ada keperluan tenaga manusia atau peralatan insya-Allah kita akan cuba bantu saudara kita yang ditimpa bencana di Kedah,” katanya dalam sidang media ketika menghadiri Korban Perdana DUN Rhu Rendang di Pekarangan Surau Pengkalan, di sini baru-baru ini.

Beliau turut berkata bahawa pihaknya sentiasa berhubung dengan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk mengenalpasti bentuk bantuan yang masih diperlukan. 

Bantuan tersebut telah disampaikan menerusi Pengerusi Badan Khidmat Pengurusuan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) negeri, Hanafiah Mat dan Setiausaha PAS Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah. 

Seekor lembu turut disumbangkan buat para sukarelawan yang bertugas di kawasan kejadian bagi operasi pemulihan.

Terdahulu, bencana kepala air berlaku di Baling, Kedah menyebabkan berlakunya kehilangan nyawa serta kehilangan tempat tinggal.


Tag: