• 21 Mei 2024 | 13 Zulkaedah 1445

Bank Rakyat Agih Zakat Kepada Pelajar Miskin





Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 22 April – Bank Rakyat Cawangan Kuala Terengganu  menyerahkan wang zakat perniagaan RM20,000 kepada Sekolah Kebangsaan Kesom, di sini untuk diagihkan kepada pelajar miskin.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, jutaan terima kasih diucapkan kepada pengurusan Bank Rakyat Cawangan Kuala Terengganu kerana menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat melalui kewajipan zakat yang ditunaikan dan tidak berorientasikan keuntungan perniagaan semata-mata.

“Syabas dan tahniah kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengurusan sekolah ini kerana menunjukkan keprihatinan yang tinggi, bukan saja dalam hal akademik, tetapi juga hal kebajikan para pelajar,”  katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Zakat Dengan Kerjasama Bank Rakyat Dan Komuniti 2019 yang diadakan di Dewan Kesuma, Sekolah Kebangsaan Kesom, petang semalam.


Menurut Ustaz Ridzuan, al-Quran menyebut secara beriringan antara perintah menunaikan solat dengan menunaikan zakat. Mendirikan solat adalah satu isyarat hubungan hambaNya dengan Allah manakala  menunaikan zakat adalah hubungan hambaNya dengan masyarakat.

Beliau juga membandingkan kaedah muamalat Islam berbanding kapitalisme yang memberikan kebebasan kepada individu untuk mengaut keuntungan dan kekayaan tanpa ada tanggungjawab untuk membantu masyarakat sehingga mewujudkan jurang yang luas antara golongan kaya dan miskin.

“Kami semua tidak mengharapkan apa-apa dari ibubapa dan pelajar, melainkan hanyalah untuk melihat kejayaan dan kecemerlangan dari sudut akademik dan akhlak sahaja.

“Maka, hargailah pemberian ini, walaupun sedikit, tetapi ianya sangat besar maknanya kepada kita. Ibubapa perlu menunjukkan kesungguhan, komitmen yang tinggi, untuk membantu pihak sekolah dalam memastikan para pelajar berjaya dalam akademik dan akhlak”, tambah beliau lagi.


Eksekutif Cawangan Bank Rakyat Cawangan Kuala Terengganu, Jafri Zainee Abd Ghani berkata, sejumlah RM451,200 untuk 33 buah sekolah dalam Daerah Kuala Terengganu telah diluluskan peruntukan agihan zakat pelajar miskin sehingga Mac yang lepas.

“Sebanyak 20 buah sekolah telah diagihkan zakat manakala selebihnya sedang menunggu giliran”, ujar beliau lagi.

Turut hadir, Pengerusi PIBG, Zaid Mansor.


Tag: