• 21 Mei 2024 | 13 Zulkaedah 1445

Bantuan Baiki Rumah Terbakar Akan Disegerakan

KEMAMAN, 22 Ogos - Bantuan baiki rumah bagi mangsa kebakaran di Rumah Murah Binjai, Air Putih di sini akan disegerakan sebaik sahaja proses penilaian selesai dibuat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, sumbangan awal bencana kebakaran buat keluarga mangsa telah disampaikan dalam ziarah baru-baru ini.

"Penilaian kerosakan rumah-rumah yang terlibat sedang diproses oleh Pejabat Daerah Kemaman dan permohonan baiki rumah melalui Tabung Darul Iman akan dihantar selesai sahaja nilaian tersebut," katanya ketika ditemui media semasa aktiviti gotong-royong membersihkan rumah terbakar terbabit kelmarin.

"Program Gorong-Royong Bersih Tapak Kebakaran merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Air Putih melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan, sukarelawan serta penduduk setempat yang turut hadir," ujarnya.

Mengulas mengenai program gotong-royong itu, beliau berkata pihaknya turun padang bersama beberapa agensi kerajaan dan sukarelawan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam gotong-royong hari ini antaranya pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang menyediakan peralatan dan membantu dalam urusan kerja-kerja pembersihan.

“Terima kasih juga buat JPKK, Lujnah Kebajikan PAS DUN Air Putih, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal dan penduduk setempat yang hadir membantu," jelasnya.

Mohd Hafiz berkata, kebakaran rumah itu berlaku dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Katanya, kejadian itu berlaku pada 17 Ogos telah mengakibatkan sebanyak tiga buah rumah mengalami kerosakan yang teruk.

"Semoga Allah SWT membalas kebaikan di atas kerja amal kalian kerana membantu mereka yang sedang ditimpa musibah.

"Moga-moga terubat sedikit kesedihan yang menimpa saudara kita ini," katanya.


Tag: