• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bantuan Mangsa Ribut Akan Disegerakan- Ahmad Razif



Menteri Besar bersama kepimpinan negeri dan kawasan meninjau kesan kejadian ribut petang semalam di sekitar Paya Resak, Marang. Foto oleh Zulkifli CW Putra

Kerajaan negeri  akan memastikan semua rumah yang rosak akibat kejadian bencana ribut melanda beberapa kawasan di negeri ini, petang semalam akan segera diberi bantuan membaik pulih kediaman terlibat.

Difahamkan, sebanyak 458 rumah membabitkan  390 rumah di Marang, Kuala Terengganu 61 rumah dan Hulu Terengganu pula membabitkan tujuh buah rumah.

Bagaimanapun, jumlah itu dijangka bertambah memandangkan ada sebilangan kecil mangsa yang masih belum membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, beliau sudah mengarahkan pihak berkaitan khususnya pemimpin setempat dan JKM untuk mengenal pasti jumlah sebenar mangsa dan rumah yang terlibat bagi memastikan bantuan diterima dengan tepat dan cepat.

“Keutamaannya  sekarang adalah menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira fahaman politik, sama ada secara bergotong royong  untuk  memasang atap, menggantikan dinding, membersihkan kawasan  atau sebagainya.

“Jumlah kerugian  masih dalam tafsiran dan yang pasti tiada mangsa cedera,” katanya selepas melawat beberapa rumah mangsa ribut di Kampung Paya Resak, Marang, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengarah JKM  Negeri Zuhami Omar, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat, Saiful Bahri Baharuddin dan Pegawai Penyelaras DUN Bukit Payung, Mohamad Nor Endut.

Seorang mangsa  kejadian itu, Ramlan Ramli, 36, berkata  ribut yang berlaku petang semalam adalah yang paling teruk sepanjang dia menetap di Kampung Pusu Tiga sehingga beranggapan seperti sudah tiba hari kiamat.


“Saya ketika itu dalam perjalanan pulang ke  rumah hanya mampu mengucap dan lafaz Allahuakbar untuk meredakan kejadian ribut.

“Sebaik tiba di rumah hanya mampu melihat  isteri Shamsiah Ramli, 35 dan empat anak dalam ketakutan kerana hampir keseluruhan atap rumah kami tercabut, peralatan dan kelengkapan rumah juga basah,”katanya.
  



Tag: