• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Bantuan Segera Legakan Mangsa Ribut

Dr Azman meninjau rumah yang rosak akibat ribut.

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 12 Julai – Bantuan segera yang disalurkan kepada mangsa angin ribut di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan memberi kelegaan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, beliau bersyukur kerana kejadian angin ribut yang menjejaskan sembilan rumah itu tidak meragut sebarang nyawa.

Jelasnya, rumah yang rosak kerana bencana pada pukul 3.30 petang itu terus dibaiki dan diberi bantuan bagi  memastikan keselamatan dan keselesaan penghuni dalam rumah.

“Dengan keadaan rumah rosak sebegitu, bukan setakat tidak selesa malah kita bimbang sekiranya ada serpihan-serpihan jatuh menimpa tuan dan anak-anak sama ada di dalam atau luar rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman menziarahi rumah mangsa ribut di perumahan berkenaan, di sini petang semalam.


Turut hadir dalam lawatan itu, Penghulu Mukim Kerandang, Azam Awang Ali, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang dan Penolong Penyelia Hal Ehwal Kemasyarakatan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs), Zakaria Mahmud.

Menurut beliau yang juga ADUN Jabi, tindakan pantas Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) PAKR, Mohd Rezuan Md Lazim yang mendapatkan barangan untuk membaik pulih rumah menunjukkan peranan dan kerjasama pimpinan setempat bagi menyelesaikan masalah dengan cepat.

“Kerjasama dan kepantasan sebeginilah yang kita ingin lahirkan pada jiwa MPKK dan penduduk dalam apa jua keadaan sekalipun terutama apabila berdepan situasi sebegini.

“Walaupun dengan kesuntukan masa di lewat petang, beliau berjaya laksanakan. 
Tahniah dan syabas Mohd Rezuan dan anak buah menjayakan misi ini,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, menurut Mohd Rezuan, proses pembaikian itu dijalankan secara bergotong-royong beramai-ramai dengan penduduk sekitar. 

Katanya, dengan itu bukan setakat dapat memupuk semangat kekitaan malah menimbulkan rasa tanggungjawab sebagai seorang muslim sejati.


“Petang semalam, kita telah menyiapkan empat buah rumah. Insya-Allah,  pagi ini kita sambung lagi gotong-royong untuk membaiki lima buah lagi," jelasnya.

“Islam mengajar kita melakukan kebaikan dalam apa-apa bentuk. Jadi, saya menyeru kepada semua terutama anak-anak muda untuk turun padang bersama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim membantu jiran tetangga yang ditimpa musibah,” katanya ketika dihubungi pagi ini.



Tag: