Bantuan Tunai Langkah Kerajaan Perkukuh Kebajikan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 15 November – Langkah kerajaan negeri mengumumkan bantuan tunai untuk warga emas, ibu tunggal, belia, mahasiswa dan OKU adalah untuk mengukuhkan kebajikan rakyat dan tanda kecaknaan terhadap keluhan orang ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, peruntukkan buat bantuan kebajikan buat golongan sasar adalah antara yang terbanyak di dalam pengumuman bajet 2022.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar kerana meluluskan peruntukkan ini, sebagai contoh i-Fitri yang akan membawa manfaat buat kira-kira 115,000 penerima.
“Kebajikan adalah fokus utama kami,” katanya ketika ditemu bual Urus Setia Penerangan Darul Iman, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menceritakan bantuan kewangan lain seperti bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada 70 pelajar yang kehilangan ibu atau bapa akibat COVID-19.
“Selain itu, kita juga umumkan bantuan tunai 'one-off' sebanyak RM150 akan diagihkan kepada 6,000 isteri ketua isi rumah e-Kasih dan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM2,500.
"Selain itu, seramai 8,900 orang kelainan upaya (OKU) daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah juga akan menerima bantuan tunai one-off bernilai RM150.
“Tambah lagi dengan penganjuran semula program Majlis Walimatulurus Perdana tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta,” katanya lagi.