Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
MARANG, 4 November - "Akhirnya saya dapat rumah baru termasuk menyediakan bilik berasingan untuk anak-anak yang semakin membesar," ujar Mohd Faizal Sapai, 41, bapa kepada tiga orang anak.
Dia yang bekerja sebagai nelayan, berkata selama 15 tahun, anak perempuannya terpaksa berkongsi bilik dengan anak lelaki kerana rumah lama yang diduduki mereka sekeluarga cuma mempunyai satu bilik tidur sahaja.
"Sebaik sahaja saya mendengar tentang rumah dibawah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) telah siap, saya mencuba nasib dengan membuat permohonan di Pejabat Daerah.
"Alhamdulillah, rezeki anak-anak kami, setelah setahun lebih menunggu akhirnya Allah makbulkan untuk memiliki rumah yang lebih selesa, terima kasih Kerajaan Negeri," ujarnya yang turut ditemani isteri, Nurhana Mohd Nawi, 36, ketika menerima kunci rumah.
Mohd Faizal merupakan salah seorang dari lapan penerima bertuah yang menerima kunci rumah PPTS daripada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Taman Rahmat Fasa 3 di Pulau Kerengga di sini semalam.
Bagi Fatimah Deris, 75, yang buta kedua-dua matanya sejak usia tiga tahun turut melahirkan rasa terharu apabila terpilih sebagai salah seorang penerima rumah PPTS fasa 3 tersebut.
Ibu kepada tujuh anak itu telah mendiami rumah asal di Taman Rahmat lebih 40 tahun bersama anak lelakinya Abdul Rafar Kassim, 35, menantu dan tiga orang cucu.
Abdul Rafar berkata ibunya akan ditemani oleh kakaknya, Kazila Kassim,43, bersama suami
dan seorang anak mereka di rumah baru nanti.
"Rumah baru lebih selesa untuk mak yang semakin uzur dan keadaan bentuk rumah pun memudahkan pergerakan mak, tidak perlu lagi menaiki tangga dan sebagainya yang boleh mudaratkannya," ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata projek di Taman Rahmat Fasa ke 3 telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2020 dengan peruntukan RM700 ribu.
Dalam masa sama, beliau turut meminta kepada penerima-penerima rumah PPTS dapat menjaga rumah berkenaan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang turut mengumumkan bahawa Pusat Khidmat DUN Ru Rendang akan membantu menyediakan tikar getah kepada kesemua lapan buah rumah tersebut.