• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Bapa Masih Terbayang Kelibat Fahmi



Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 25 Januari – “Setiap kali keluar bekerja, saya masih lagi terbayang-bayang wajahnya kerana sebelum ini dia rajin membantu saya buat kerja,”  kata Zuki Ab Razak, 55.

Zuki adalah bapa kepada arwah Zul Fahmi, 21, salah seorang daripada empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun yang meninggal dalam kejadian lemas di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan pada 17 Januari lalu.

Zuki yang redha dengan pemergian anaknya itu berkata, arwah seorang yang ringan tulang dan amat menghormati orang tua.

"Setiap kali bila dia balik bercuti, dia memang ikut saya mesin rumput, sehingga sekarangpun saya masih berasa dia ada di sebelah memesin rumput bersama saya, tapi saya sedar dia dah tiada dan redha Allah beri pinjam dia buat seketika, " ujarnya yang mengambil upah sebagai pemotong rumput.

Zuki ditemui pemberita di Majlis Penghargaan Sempena Operasi Mencari Dan Penyelamat(SAR) di Pantai Teluk Bidara dan Penyerahan Wang Manfaat Takaful Ikhlas di Dewan Serbaguna, PSMZA di sini, semalam.

Di dalam majlis tersebut Zuki dan tiga lagi waris mangsa lemas menerima cek wang manfaat Takaful Malaysia bernilai RM41,500 setiap seorang daripada Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail.

Sementara itu isterinya, Maznah Muda, 55 masih tidak dapat melupakan allahyarham sambil menyifatkan Fahmi seorang anak yang mendengar kata.

"Dia biasanya akan bagi tahu saya melalui ‘whatsapp’ setiap kali tidak balik, jadi masa hari kejadian, dia hantar  ‘whatsapp’ tidak jadi balik, masa tu dah pukul 6.00 petang dan saya mesej dia semula.

"Hati ibu saya rasa tidak sedap bila dia tidak balas mesej saya, kira-kira 6.45 petang, saya tersentak, bila dapat berita dia hilang di pantai," ujar ibu kepada lima orang anak itu.

Katanya, setiap kali lepas sembahyang dia akan sentiasa mendoakan anaknya itu.

Tag: