Berita :
Anak Temala Wakili Negara Dalam Pertandingan Memanah Di Kyrgyzstan
Anak Temala Wakili Negara Dalam Pertandingan Memanah Di Kyrgyzstan
Abdul Fattah Kamarudin
7 jam yang lepas
87

MARANG, 18 Mei – Impian pemanah, Ahmad Harun untuk tampil di pentas dunia bakal menjadi kenyataan selepas terpilih mewakili Malaysia ke World Nomad Games 2026 di Kyrgyzstan yang dijadualkan berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September ini.

Ahmad yang merupakan anak jati Kampung Temala tidak pernah menyangka minatnya dalam sukan memanah tradisional yang dipupuk sendiri tanpa bimbingan jurulatih profesional telah membawanya sejauh itu.

Menurutnya, segala-galanya bermula hanya dengan membeli busur secara dalam talian sebelum berlatih sendiri secara konsisten.

“Pada awalnya sekadar minat, beli busur sendiri dan cuba belajar. Lama-kelamaan jadi serius dan mula masuk pertandingan,” katanya kepada pemberita.

Ahmad berkata, penyertaan awalnya sekitar tahun 2015 di Pantai Batu Buruk menjadi titik permulaan sebelum terus aktif bersama komuniti memanah tradisional di Rusila.

Hasil usaha berterusan itu, Ahmad berkata, dia berjaya mencatat 124 markah dalam pemilihan wakil negara bagi acara Selekta 7 – Teke Buta Target, sekali gus mengatasi purata keseluruhan peserta sekitar 69 markah serta melepasi purata kelompok elit 116 markah.

Pencapaian tersebut melayakkannya dipilih mewakili Malaysia ke temasya antarabangsa berkenaan untuk menyertai dua acara iaitu 70 meter Target Puta (Turki) dan 40 meter Teke Buta (Kyrgyzstan) menentang peserta dari pelbagai negara.

Ahmad berkata, dia kini memberi tumpuan kepada latihan sebagai persediaan menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap pasukan memanah dapat menyumbang pingat untuk Malaysia dan melihat sukan ini terus berkembang di Terengganu serta negara,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan,  Sulaiman Sulong menzahirkan sokongan dengan menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai bagi membantu persiapan Ahmad ke kejohanan berkenaan.

Menurut beliau, sokongan tersebut sebagai tanda penghargaan bahawa anak tempatan yang berusaha membawa nama negeri dan negara wajar diberi dorongan berterusan.

“Ini sebagai tanda sokongan kepada usahanya. Kita harap Ahmad dapat pergi dengan yakin dan membawa pulang kejayaan untuk negara,” katanya.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan