KEMAMAN, 21 Disember – Seorang pemuda dari Penunjuk, Kijal, Mohd Firdaus Faziah, 21 tahun, tabah memikul tanggungjawab sebagai tulang belakang keluarga apabila terpaksa bekerja sejak di bangku sekolah demi membantu keluarganya meneruskan kehidupan.
Mohd Firdaus berkata, dia mula bekerja sejak zaman persekolahan dengan melakukan pelbagai pekerjaan sambilan. Kekangan kewangan menyebabkan basikal menjadi pengangkutan utama untuk ke tempat kerja.
“Saya sudah biasa bekerja sejak sekolah lagi. Apa sahaja kerja yang ada, saya cuba buat demi bantu keluarga. Walaupun hanya berbasikal, saya anggap itu sudah memadai.
“Selain itu, saya turut membantu kerja-kerja rumah termasuk memasak serta turun ke laut sebagai nelayan apabila dipanggil, khususnya jika rakan-rakan memerlukan tenaga tambahan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Penunjuk, Kijal, hari ini.
Kesempitan hidup turut menyebabkan dua orang adiknya terpaksa berhenti sekolah lebih awal bagi membantu keluarga. Mereka ialah Mohd Amirul Aiman Tuah, 18 tahun, dan Mohd Hairi Hazuan Tuah, 16 tahun, yang kini membantu menjual ikan di sekitar Penunjuk, Kijal.

Ibu mereka, Norma Aini Saad, 46 tahun, menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi, kolesterol serta masalah buah pinggang bocor. Dalam keadaan kesihatan yang terbatas, beliau tetap berusaha mencari pendapatan dengan membuat kuih-muih sekiranya menerima tempahan.
Sementara itu, bapa mereka, Tuah Zainal Abidin, 59 tahun, tidak lagi mampu bekerja sejak hampir 10 tahun lalu akibat penyakit kronik termasuk kencing manis dan masalah buah pinggang.
Keluarga ini turut berdepan cabaran apabila terpaksa berpindah ke rumah sewa kira-kira empat bulan lalu selepas rumah lama mereka terpaksa dirobohkan oleh tuan tanah.
Kini, mereka menanggung komitmen sewa rumah sebanyak RM300 sebulan, sekali gus menambah beban kewangan keluarga.
Sehubungan itu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal telah turun membantu keluarga ini dari sudut keperluan asas.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun 11111-41-00021254-5 atas nama Tuah bin Zainal Abidin atau menghubungi 019-5541176 untuk maklumat lanjut.