lightning-solid
Berita :
Beberapa Jalan Ditutup Bermula Esok Sempena International Golden Monsoon Ride & Run
Beberapa Jalan Ditutup Bermula Esok Sempena International Golden Monsoon Ride & Run
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
942

KUALA TERENGGANU, 17 Disember - Beberapa jalan utama di sekitar daerah Kuala Terengganu akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada penganjuran International Golden Monsoon Ride & Run 2025 pada 18 sehingga 20 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim menerusi satu perkongsian menasihati orang awam agar merancang perjalanan sebaiknya pada hari terlibat.

Perkongsian yang merupakan siaran media daripada Polis Diraja Malaysia Kontijen Terengganu (PDRM) itu menjelaskan penutupan jalan selama tiga hari yang akan dijalankan secara berperingkat.

590504725_18540930217005128_7738130232819390926_n.jpg 311.91 KB
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd noor berkata, bahawa penutupan itu akan melibatkan jalan di perkarangan ibu pejabat Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Dewan Tunku Abdul Rahman. 

"Penutupan jalan ini dibuat adalah bagi melancarkan perjalanan acara IGMRR 2025 peringkat negeri Terengganu serta keselamatan para peserta dan pengguna jalan raya lain di sepanjang laluan.

"Pembukaan semula laluan akan dilakukan secara berperingkat selepas semua peserta selamat melepasi kawasan terlibat.

"Pihak polis turut menyeru masyarakat agar berhemah ketika memandu, mengutamakan keselamatan diri dan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang acara berlangsung," katanya dalam kenyataan media itu.

601443969_18540930226005128_2513161796451130846_n.jpg 387.52 KB
Menurut Azli, pada 18 Disember, bermula jam 4 petang Jalan Sultan (hadapan pejabat SATU/IPD Kuala Terengganu/ Yayasan / Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah - dua hala) akan ditutup.

Seterusnya, disusuli Jalan Sultan Ismail, Jalan Engku Sar, Jalan Cherung Lanjut, Bukit Panorama, Jalan Kemajuan, Terowong Bukit Kecil, Lorong Belakang Stadium dan Jalan Tengku Ampuan Mariam pada 19 Disember, 2 petang sehingga 6.30 petang.

Manakala, jalan terlibat pada hari terakhir penganjuran IGMRR 2025 (Jalan Sultan Ismail, Jalan Engku Sar, Jalan Cherung Lanjut, Bulatan Sultan Omar, Jalan Kemajuan, Simpang 4 JPJ, Simpang 4 Perpustakaan, Jalan Pulau Kambing (Boljui), Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman, Dataran Shahbandar, Jalan Mayang Mall, Pasarnita, Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Kg. Kolam, Drawbridge KTCC Mall, Simpang 4 (TL) Mat Ori, Jalan Ladang, Bulatan Ladang) akan ditutup dari jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari.

"Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada bilik gerakan IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322243," ujarnya.



Tag :

Artikel Berkaitan