lightning-solid
Berita :
Bekas Pekerja FAMA Hidupkan Pasar Pagi Bira Sungai, Hampir 80 Peniaga Sertai Usaha Komuniti
Bekas Pekerja FAMA Hidupkan Pasar Pagi Bira Sungai, Hampir 80 Peniaga Sertai Usaha Komuniti
Mastura Jamal Din
7 jam yang lepas
52

HULU TERENGGANU, 23 Ogos – Bermula daripada pengalaman menguruskan pasar tani ketika berkhidmat dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), seorang bekas kakitangan agensi itu kini mencetuskan inisiatif menghidupkan pasar pagi bira sungai di Kampung Pantai Ali.

Pengasas pasar pagi berkenaan, Zulkifli Ismail, 60, berkata, idea tersebut tercetus selepas beliau bersara daripada FAMA selepas kira-kira empat tahun menguruskan pasar tani.

Menurutnya, hasrat untuk mewujudkan pasar pagi itu timbul selepas melihat potensi untuk menyediakan ruang niaga kepada penduduk kampung selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

"Saya bekas pekerja FAMA dan selama lebih kurang empat tahun saya menguruskan pasar tani.

"Selepas bersara, timbul ilham untuk membuka pasar tani sendiri dan saya fikir mengapa tidak kita wujudkan untuk orang kampung di sini," katanya.

Beliau berkata, sebelum merealisasikan idea tersebut, beliau turut membuat lawatan sebanyak dua kali ke Pasar Pendekar di Pasir Putih, Kelantan bagi melihat sendiri pengurusan serta konsep pasar berkenaan.

Katanya, hasil lawatan itu meyakinkan beliau bahawa konsep sama boleh dilaksanakan di kawasan tersebut.

"Daripada tercetusnya idea sehingga pasar ini dibuka, tempohnya hanya kira-kira sebulan termasuk mengumpulkan peserta dan menyediakan tapak.

"Pasar ini mula dibuka pada 10 Julai lalu dan sambutan daripada peniaga serta orang ramai semakin bertambah dari minggu ke minggu," katanya.

Menurut Zulkifli, ketika ini kira-kira 68 peniaga berdaftar menyertai pasar berkenaan, namun jumlah sebenar mencecah hampir 80 orang berikutan terdapat peniaga yang mengambil lebih daripada satu lot.

Beliau berkata, sambutan pengunjung juga semakin menggalakkan walaupun terdapat sedikit penurunan pada minggu lalu berikutan hujan pada awal pagi.

"Setiap minggu jumlah pengunjung semakin bertambah. Walaupun minggu lalu hujan menyebabkan keadaan sedikit perlahan, namun masih ramai yang datang," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, keadaan tapak pasar yang pada peringkat awal hanya beralaskan rumput dan agak becak kini mula ditambah baik secara berperingkat hasil kerjasama pelbagai pihak.

Katanya, usaha itu turut mendapat sokongan ketua kampung dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr. Mamad Puteh kawasan berkenaan yang membantu menyediakan 12 lori batu kasar.

"Pejabat Daerah turut menyumbang tiga lori batu, namun jumlah itu masih belum mencukupi.

"Kemudian ada seorang usahawan yang tampil menaja kira-kira 60 tan batu dan turut membawa pasir untuk membantu memperbaiki keadaan tapak," katanya.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat beberapa kawasan yang becak terutama di bahagian tempat letak kenderaan dan usaha penambahbaikan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pasar berkenaan juga dirancang menjadi lokasi mengetengahkan makanan tradisional dan makanan yang jarang ditemui di kawasan Hulu Terengganu.

Katanya, setiap peniaga baharu yang mahu menyertai pasar itu perlu melalui tapisan bagi memastikan jenis jualan tidak bertindih dengan peniaga sedia ada.

"Keutamaan kita adalah makanan tradisional dan makanan yang jarang ada di sini.

"Kalau ada peniaga baharu mahu masuk, kita akan temuduga dahulu dan lihat apa yang hendak dijual. Kalau barang yang sama sudah ada tiga peniaga, kita akan minta mereka cari produk lain," katanya.

Beliau berkata, ketika ini tapak pasar berkenaan sudah hampir penuh dan hanya kekosongan sementara akibat ketidakhadiran peniaga tetap akan dibuka kepada peniaga lain.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata, pihak pengurusan kini mengenakan caj RM5 bagi setiap lot, namun kadar itu akan dinaikkan kepada RM10 bermula September bagi menampung kos pengurusan.

Katanya, kutipan tersebut diperlukan bagi menampung pelbagai kos termasuk bayaran tapak, permit jualan, pengurusan sampah, kebersihan dan operasi pasar.

"Kalau kita tidak mengenakan caj, memang sukar untuk kita jalankan pengurusan pasar ini.

"Alhamdulillah, majoriti peniaga bersetuju kerana mereka faham kutipan itu digunakan semula untuk memastikan pasar ini dapat beroperasi dengan baik," katanya.

Tambah beliau, aspek kebersihan ketika ini masih banyak diuruskan secara sukarela dan pihak pengurusan bercadang menambah tenaga kerja secara berperingkat.

Zulkifli berharap pasar pagi berkenaan terus berkembang bukan sahaja sebagai lokasi jual beli, malah menjadi ruang kepada penduduk setempat menjana pendapatan dan memperkenalkan makanan tradisional kepada orang ramai.

"Harapan saya pasar ini terus berkembang dan manfaatnya dapat dirasai semua pihak, terutama peniaga dan penduduk setempat," katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan