• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bekas Pekerja Syarikat Minyak Jadi Penternak Berjaya

Gaddafi memastikan lembu ternakannya mendapat penjagaan dan pemakanan yang baik. Foto oleh Aminudin Ismail

Minat mendalam dalam bidang penternakan mendorong seorang kakitangan sebuah syarikat minyak dan gas di Kemaman melepaskan jawatannya selama 23 tahun dengan syarikat berkenaan beberapa tahun lalu untuk melibatkan sepenuh masa dalam bidang penternakan.
Sheikh Gaddafi Sheikh Mohd Nasir, 42, dari Ibok, Kemaman, berkata pada permulaannya dia menjadikan penternakan ini sebagai hobi kerana masih lagi bekerja tetap ketika itu.
"Minat bermula sejak 1995 lagi, saya kumpul modal dan memeliharanya sebagai satu hobi kerana ketika itu saya masih lagi bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas di Kemaman dengan menjalankan perusahaan berhampiran rumah.
"Selepas merasakan saya mampu menternak secara komersial akhirnya pada 2004 saya mengeluarkan modal sebanyak RM300,000 daripada duit simpanan untuk menternak kambing sehingga mencapai 500 ekor. Duit itu juga saya guna untuk membeli sebidang tanah, membuat kandang dan membeli baka kambing,"katanya.
Gaddafi yang juga Pengerusi Persatuan Penternak Ruminan Negeri Terengganu (PPRNT) itu berkata, pembabitannya dalam perusahaan ini menuntut banyak kesabaran kerana dia sudah beberapa kali mengalami kegagalan sebelum mengecapi hasilnya pada hari ini.
"Tiga kali gagal tapi memandangkan minat saya begitu tinggi dalam bidang penternakan ini, saya tidak pernah berputus asa sehinggalah dalam tempoh enam tahun iaitu untuk kali keempat barulah saya dapat memperkemaskan perniagaan saya dan dapat bertahan sehingga kini.
"Tahun 2010 barulah saya dapat stabilkan perniagaan saya dengan mengembangkan penternakan kepada lembu, saya mulakan dengan 30 ekor bermodalkan RM150,000. Alhamdulillah penternakan lembu saya berjaya dan sehingga kini mempunyai kira-kira 100 ekor lembu dan kambing lebih 30 ekor serta lebih 15 ekor rusa.
"Saya menjadi antara pembekal lembu hidup dan daging lembu utama di Terengganu dan beberapa tempat di Semenanjung Malaysia," kata bapa kepada dua orang anak itu.
Menurutnya lagi, dia bercita-cita mahu menjadi pembekal lembu 'sado' utama di Terengganu pada masa depan dengan menambah bilangan lembu itu daripada tujuh kepada lebih 30 ekor sekaligus menjadi pembekal lembu sado utama di Kemaman.


Tag: