Jalur Gemilang
Berita :
Syarikat Terengganu, EPIC Berhad Raih Anugerah Berprestij WESCA 2026
Syarikat Terengganu, EPIC Berhad Raih Anugerah Berprestij WESCA 2026
Husaif Mamat
9 jam yang lepas
255

KUALA TERENGGANU, 21 November – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu, EPIC Berhad terus mengukuhkan reputasinya dalam industri tenaga apabila meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi World Energy Supply Chain Awards (WESCA) 2026.

EPIC Berhad berjaya memenangi anugerah bagi kategori Culture & People pada majlis anjuran Energy Industries Council (EIC) Asia Pacific yang berlangsung malam tadi.

Anugerah berkenaan diterima oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated (TI) merangkap Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Naib Presiden Hubungan Strategik dan Komunikasi PETRONAS, Ir. Norafizal Mat Saad bersama Pengarah Serantau EIC Asia Pacific, Ts. Syed Saggaf Syed Ahmad.

Dr. Muhtar berkata, pengiktirafan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan EPIC Berhad dalam membina budaya organisasi yang kukuh, memperkasakan warga kerja serta melahirkan tenaga kerja berprestasi tinggi.

Menurutnya, kejayaan itu juga merupakan hasil dedikasi, semangat dan komitmen seluruh warga kerja EPIC Berhad dalam memastikan syarikat terus berdaya saing seiring perkembangan industri tenaga.

“Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen kolektif kita dalam membina budaya organisasi yang kukuh, memperkasakan warga kerja serta melahirkan tenaga kerja berprestasi tinggi, seiring dengan usaha berterusan kita dalam membentuk masa depan industri tenaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, EPIC Berhad akan terus memperkukuh kedudukan perniagaannya menerusi Pelan Perniagaan Strategik EPIC 2025–2030 (EPIC BEST 2530).

Jelasnya, pelan strategik tersebut memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh perniagaan teras, meningkatkan kecekapan operasi serta meneroka peluang pertumbuhan yang mampu memberikan nilai jangka panjang kepada syarikat.

Katanya, keutamaan turut diberikan kepada usaha memastikan pertumbuhan perniagaan disokong oleh asas kewangan yang stabil, tadbir urus yang baik serta keupayaan menyesuaikan operasi dengan perubahan industri.

“EPIC Berhad akan terus menjadikan pembangunan modal insan, kecemerlangan pengurusan, kecekapan operasi dan pertumbuhan mampan sebagai teras pembangunan kumpulan.

“Berpandukan hala tuju strategik yang ditetapkan, syarikat komited untuk meningkatkan daya saing perniagaan serta memanfaatkan peluang pertumbuhan bagi menyokong pembangunan sosioekonomi Negeri Terengganu dan kemajuan industri negara,” katanya.

EPIC Berhad ketika ini terlibat dalam lima bidang perkhidmatan utama, merangkumi pangkalan bekalan dan sokongan minyak serta gas, pengurusan pelabuhan komersial, kejuruteraan dan perkhidmatan marin, kejuruteraan dan penyelenggaraan serta tenaga boleh baharu dan teknologi hijau. 

Dr. Muhtar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja EPIC Berhad atas kejayaan tersebut dan berharap pengiktirafan berkenaan menjadi pemangkin kepada pencapaian lebih cemerlang pada masa hadapan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan