Jalur Gemilang
Berita :
Amalan 10 Saat Pelukan Keluarga Diperluas Di Terengganu
Amalan 10 Saat Pelukan Keluarga Diperluas Di Terengganu
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
92

KUALA  TERENGGANU, 20 November – Amalan ‘10 Saat Pelukan Keluarga’ akan diperluas sebagai salah satu pengisian program pendidikan kekeluargaan bagi menyemai kasih sayang dan mengeratkan hubungan antara ahli keluarga di Terengganu.

 Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, usaha itu merupakan antara pendekatan yang akan digerakkan bersama bagi mempromosikan nilai KASIH dalam membentuk keluarga yang sejahtera dan harmoni.

 Katanya, konsep KASIH yang merangkumi kasih sayang, akhlak, sihat dan selamat, ilmu serta harmoni perlu diterapkan dalam kehidupan setiap individu bagi melahirkan masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi pemikiran, malah memiliki nilai kerohanian dan adab yang tinggi.

 “Kerajaan Negeri bersama-sama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sentiasa komited mendukung konsep KASIH untuk terus menerapkan sifat penyayang serta nilai akhlak dalam diri setiap individu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membaca teks ucapan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Tan Sri Dato’ Haji Abdullah Taib, The Payang Scout Hotel, di sini, semalam.

 Menurutnya, pembentukan insan bermula dari rumah apabila ibu bapa memikul tanggungjawab utama mendidik dan membimbing anak-anak sebelum disokong oleh peranan masyarakat.

 Tambah Mohd Nor, kemajuan ekonomi dan teknologi perlu bergerak seiring dengan usaha membentuk insan berilmu, beradab serta berakhlak mulia.

 Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi kerjasama LPPKN Terengganu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa).

Antaranya termasuk Walimatulurus Perdana, Program Pasca Perkahwinan dan Portal Jodoh Darul Iman sebagai sebahagian usaha memperkukuh institusi kekeluargaan di negeri ini.

 “Usaha menjaga keutuhan institusi keluarga serta mengekalkan kesejahteraan keluarga merupakan tanggungjawab bersama semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, NGO dan setiap individu dalam keluarga termasuk datuk, nenek, ibu bapa dan anak-anak,” ujarnya.

 Justeru itu, beliau berharap masyarakat mengambil peluang menyertai program dan memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan bagi memastikan kesejahteraan keluarga terus terpelihara.

“Maka saya menyeru semua rakyat Terengganu agar memahami tanggungjawab dalam keluarga dengan nilai kasih sayang yang sebenar. Sememangnya kasih sayang itu tanpa syarat, namun nilainya amatlah mahal. Tanpa keluarga, kita bukan siapa-siapa,” tambah beliau


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan