Jalur Gemilang
Berita :
TDM Salur Bantuan Kepada 400 Nelayan Seberang Takir
TDM Salur Bantuan Kepada 400 Nelayan Seberang Takir
Noraini Jusoh
35 minit yang lepas
26

KUALA TERENGGANU, 21 November – TDM Berhad meneruskan usaha menyokong kesejahteraan komuniti setempat menerusi pelaksanaan Program Bantuan Nelayan di DUN Seberang Takir yang memberi manfaat kepada 400 orang penerima daripada komuniti nelayan. 

Sumbangan TDM berjumlah RM20,000 itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan bantuan yang bernilai RM84,000 disalurkan menerusi program tersebut. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan syarikat terhadap cabaran yang dihadapi nelayan termasuk ketidaktentuan cuaca, keadaan laut dan peningkatan kos operasi.

"Kita harapkan sumbangan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada penerima serta keluarga mereka dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

"Setiap penerima mendapat bantuan berupa barangan keperluan rumah dan sumbangan wang tunai bagi membantu mengurangkan perbelanjaan harian, " ujarnya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat berkata, sokongan berterusan daripada pelbagai pihak amat penting bagi memastikan kebajikan komuniti nelayan dan keluarga mereka terus terbela.

"Komuniti nelayan merupakan antara kelompok masyarakat yang memainkan peranan penting dalam kehidupan ekonomi setempat. 

"Saya menghargai usaha TDM dalam 
melaksanakan inisiatif ini yang bukan sahaja menyampaikan bantuan kepada penerima, malah mencerminkan kepentingan kerjasama antara pihak korporat dan komuniti dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera,” katanya.





Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan