• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Belajar Al-Quran Sepanjang Hayat

DUNGUN, 17 April - Ibu bapa diseru untuk mengubah mentaliti anak bahawa mempelajari al-Quran adalah sepanjang hayat bukannya berhenti belajar apabila menginjak ke Tingkatan Satu.

Teguran itu disuarakan Pengerusi Masjid Al Mustaqim, Wan Mazli Wan Dagang diatas sikap sambil lewa sesetengah ibu bapa kepada pengajian al-Quran anak-anak mereka sehingga akhirnya apabila meningkat dewasa gagal membaca kalamullah. 

"Hantar anak belajar mengaji sehingga mereka boleh membacanya sendiri atau sehingga khatam," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pendek sempena Majlis Sumbangan Ramadan Anak Yatim DUN Rantau Abang di Dewan Al Husna, Markas Tarbiah Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah di sini kelmarin.

Dalam majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu seramai 300 orang anak yatim menerima sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang.

Wan Mazli berharap ibu bapa mengambil iktibar daripada diri sendiri.

"Kalau kita pandai mengaji, contohi macam mana ayah dan emak kita buat untuk memastikan kita boleh mengaji, begitu juga sebaliknya, jangan ulangi kesilapan kita dulu," ujarnya.

Sementara itu Alias memberitahu program tersebut diadakan setiap tahun sejak 2011.

"Tetapi sebelum ini bawa cucu-cucu ini 'shopping' baju raya, tetapi kali ini, dalam bentuk wang tunai, "katanya lagi. 


Tag: