• 27 Sept 2021 | 19 Safar 1443

Belanjawan 2021: Ambil Kira Keperluan Rakyat

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 25 November - Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Besar ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 sudah tentu mengambil kira keperluan rakyat negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, bajet itu akan membantu menjana semula ekonomi dan pendapatan masyarakat yang terjejas akibat virus maut..

"Saya yakin pembentangan bajet kali pertama dalam suasana cabaran COVID-19 ini sudah tentu akan mengambil kira soal kesejahteraan rakyat.

"Terutama menjana semula ekonomi dan pendapatan rakyat yang terjejas akibat COVID-19," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa pembukaan Persidangan Mesyuarat Kali Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 14 di U2, Wisma Darul Iman, pada kelmarin.

Menurutnya, penyesuaian dengan norma baharu dalam menguruskan kepentingan ekonomi rakyat seperti 'gig economy' dan pemerkasaan 'upskill' dan 'reskill' kepada golongan sasar sudah tentu dalam pertimbangan kerajaan.
 
Dalam pada itu menurutnya, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kini sedang mengumpul dokumen lama bagi menerbitkan buku 'Sejarah Dewan Undangan Negeri Terengganu' yang ditubuhkan sejak tahun 1959 hingga sekarang.

"Saya berharap buku ini boleh dilancarkan pada tahun hadapan, insya-Allah," jelasnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar meletakkan setinggi-tinggi kebergantungan  kepada Allah S.W.T dengan doa dan penuh kerendahan diri kepadaNya. 

"Semoga negara dan negeri kita dibebaskan dari ujian COVID-19 ini dan  perjalanan hidup kita termasuk ekonomi, pulih seperti sediakala, bahkan lebih maju selepas ini, Insya-Allah," ujar Dato' Yahaya.