• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Belanjawan 2021 Terengganu Peruntuk RM1.375 Bilion

KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Terengganu mengumumkan peruntukan RM1.375 bilion bagi perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan 2021 berbanding anggaran hasil yang bakal diperoleh sebanyak RM1.25 bilion dengan defisit RM125 juta.

Bertemakan 'Melestarikan Kesejahteraan Bersama', belanjawan kali ini didokong dengan lima teras utama iaitu meneguhkan pelaksanaan agenda Islam dan pembangunan modal insan, menjana semula ekonomi dan pendapatan rakyat, menjamin kesejahteraan keluarga dan sosial, mendigitalisasikan perkhidmatan awam dan melestarikan alam sekitar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, demi kesejahteraan penduduk, kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.375 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala perbelanjaan pembangunan dan Kumpulan Wang Bekalan Air masing-masing sebanyak RM615 juta dan RM20.17 juta.

“Sementara itu, pendapatan hasil cukai adalah sebanyak RM58.56 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM130.64 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM1.06 bilion termasuk RM933.33 juta royalti petroleum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.


Tag: