• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Beri Peluang Baharu Untuk Kembangkan Perniagaan Koperasi

KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Koperasi Tunas Islam Negeri Terengganu Berhad disaran meneroka peluang-peluang baharu untuk mengembangkan lagi perniagaan koperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, penerokaan peluang-peluang berkenaan penting dalam memastikan perkembangan pesat koperasi agar tidak terhad di bawah beberapa perniagaan sahaja.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memberikan sokongan dan memastikan peluang baharu tetap wujud untuk koperasi.

"Mereka boleh mencuba bidang penternakan atau pertanian
memandangkan  sektor berkenaan menawarkan potensi besar susulan peningkatan permintaan setiap tahun.

"Kita berharap jika koperasi melebarkan sayap ke dalam sektor perniagaan lain, kedudukan mereka akan berubah, dan lebih ramai akan menjadi ahli apabila koperasi menampakkan hasil yang lebih baik,"ujarnya.

Ariffin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Dividen Koperasi Tunas Islam Negeri Terengganu Berhad 2023 di Menara Drawbridge di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, sebagai menghargai pemegang saham utama koperasi, sebanyak 10 peratus  agihan dividen dilaksanakan daripada hasil keuntungan sehingga 31 Mac 2023.

Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada Pasti daripada NGO Iman Care sempena program Wakaf Al Quran yang dijalankan pada tahun 2023 dan pelancaran Umrah Haramain PASTI Negeri Terengganu.