• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Berikan Peluang Untuk OKP Berubah

 

Oleh : Azhar Yusof

Hulu Terengganu 18 Julai - Seramai 45  Orang Kena Pengawasan (OKP) sekitar Hulu Terengganu mengikuti program Muhasabah Diri Orang Kena Pengawasan (OKP) Kembali ke Pangkal Jalan yang berlangsung di Dewan Cikgu Kamarudin, di sini, semalam.

Pengerusi ( JKPD) Jawatankuasa Pemulihan Dadah Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim  berkata, mereka yang juga OKP menjalankan pelbagai aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan.

“Terapi psiko-kerohanian yang digunakan dalam usaha merawat dan memulihkan penagih dadah dan ketagihan mereka adalah amat berkesan.

 "Di antara pengisiannya termasuklah bimbingan solat, bengkel fardhu ain, tazkirah selepas solat, qiamullail serta muhasabah diri,"ujar Maliaman ketika ditemui selepas program berkenaan semalam.

Tambah beliau, berdasarkan respon dari para peserta, mereka mengakui dapat membina semula keyakinan diri, membetulkan salah faham terhadap Islam yang selama ini dianggap bersifat menghukum kepada golongan yang melakukan kesalahan, mengingati dan menghayati semula asas agama seperti solat dan fardhu ain serta mendapat keinsafan diri.

“OKP ini mahu berubah, tetapi memerlukan sokongan ahli keluarga dan masyarakat di mana melalui program sebegini memberi kesedaran bahawa masyarakat masih menerima mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Unit Rawatan dan Pemulihan Daerah Hulu Terengganu, Afzariza  Draman berkata, peserta itu adalah sebahagian daripada 535 OKP di seluruh daerah Hulu terengganu.

“OKP ini adalah bekas penagih yang selesai menjalani rawatan pemulihan, tetapi perlu berada dalam pengawasan AADK selama 24 hingga 36 bulan mengikut Seksyen 6 (1) (a) dan 6(1) (b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Mereka perlu hadir dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh AADK dan kegagalan menghadirinya akan dikenakan tindakan,” katanya.


Tag: