• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Berita Gembira Buat Pesakit Buah Pinggang Sekitar Marang

 

MARANG, 31 Disember - Penduduk sekitar kawasan Marang boleh menarik nafas lega apabila sebuah pusat hemodialisis akan beroperasi di Kampung Telaga Mengkudu dalam masa terdekat.

 

 
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ustaz Ariffin Deraman berkata, peralatan yang akan disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta para petugas akan mula beroperasi di pusat tersebut pada bila-bila masa sahaja.
 
“Ia menjadi sejarah bagi saya sebagai ADUN mewakili Alur Limbat apabila pusat ini dibuka dan saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan serta Majlis Daerah Marang yang memilih tapak ini.
 
“Pada saya ianya memenuhi kehendak pesakit-pesakit yang sebelum ini sukar mendapatkan rawatan  kerana terpaksa pergi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang jaraknya agak jauh,” ujarnya.
 

Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat  negeri berkata demikian selepas majlis ringkas penyerahan kunci premis yang akan dijadikan pusat hemodialisis di Kampung Telaga Mengkudu, di sini hari ini.
 
Oleh itu, kata Ariffin, pusat itu dapat menampung 50 orang pesakit pada satu masa dan dapat memberi kemudahan kepada penduduk setempat.
 
Beliau berkata, penyakit buah pinggang adalah salah satu penyakit kronik yang memerlukan disiplin rawatan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi pesakitnya kekal sihat.
 
Menurutnya, beliau dimaklumkan Maidam telah pun membeli mesin dialisis melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
 

“Dengan kolaborasi di antara pihak HSNZ melalui Pengarahnya, Dr Haji Mohd Jusoh dengan pihak Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, kerajaan akan menghantar para petugas kesihatan bagi mengurus dan merealiasikan pusat tersebut,” tambah beliau.

 


Tag: