• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bersegeralah Dalam Ziarah Dan Salurkan Bantuan

Oleh : Aslam Wira

MARANG, 8 Julai - Program ziarah sewajarnya dijadikan aktiviti wajib bagi pihak berkepentingan terutama membabitkan kepimpinan kampung dan  jabatan berkaitan.

Pendekatan itu dilihat mampu menyelesaikan pelbagai masalah, termasuk menyegerakan bantuan kewangan, keperluan makanan dan perubatan bagi mereka yang memerlukan.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, langkah seumpama itu turut diamalkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang menjenguk, bertanya khabar mana-mana penduduk uzur, Orang Kurang Upaya dan warga emas sebagai aktiviti harian atau mingguan.

Katanya, pihaknya turut menziarahi Mohamad Hakimi Othman yang terlibat kemalangan pada 2 Julai lalu dan Maziah Abu Bakar yang mengalami lumpuh sebelah badan di Kampung Kijing.

“Ziarah ini bukan sekadar tertumpu pada kunjungan semata-mata tetapi juga untuk menyalurkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang.

“Ini adalah keperluan kepada mereka yang ditimpa musibah sebagai meringankan sedikit beban di atas ujian yang menimpa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika selesai aktiviti ziarah di Kampung Kijing, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang.