Jalur Gemilang
Berita :
Besut Sasar KPI Khusus Cungkil Pelapis Qari, Qariah
Besut Sasar KPI Khusus Cungkil Pelapis Qari, Qariah
Amir Ab Rahim
04 Oct 26
5

BESUT, 7 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan pembentukan KPI khusus di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mencungkil dan membangunkan bakat baharu qari serta qariah di daerah Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman berkata, langkah itu penting susulan kebimbangan terhadap kekurangan pelapis baharu dari Besut yang mampu diketengahkan ke peringkat negeri.

Menurutnya, usaha berkenaan perlu digerakkan secara tersusun di peringkat DUN dengan penglibatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi menyediakan lebih banyak platform kepada masyarakat mempelajari serta menghayati bacaan al-Quran.

“Tujuan kita adalah untuk ramaikan lagi pengajaran dan pembacaan al-Quran. Walaupun ada qariah yang menjalankan pengajaran secara dalam talian, kita mahu menyediakan platform yang lebih meluas untuk rakyat.

“Tahun lepas kita telah adakan kerjasama dengan JAKIM bagi menganjurkan kursus pendek bacaan al-Quran dan tarannum. Dalam keadaan sibuk sekalipun, masyarakat sanggup hadir sekiranya kita menyediakan platform tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Besut yang berlangsung di Masjid An-Naim, Alor Teratai, baru-baru ini.


Nurkhuzaini menambah, pihak penganjur dan kepimpinan setempat juga perlu memanfaatkan jaringan kenalan yang mempunyai kepakaran dalam ilmu tarannum bagi mengenal pasti serta mengetengahkan bakat tempatan.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja dapat memperluas penyertaan masyarakat dalam aktiviti al-Quran, malah memberi ruang kepada bakat muda untuk dibimbing secara berterusan.

“Kalau kita ada orang yang mempunyai kepakaran dan ilmu tarannum, kita perlu gunakan kepakaran mereka untuk mencungkil bakat-bakat yang ada di kawasan kita,” tambah beliau.


Justeru itu, usaha tersebut diharapkan dapat melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkualiti sebagai pelapis untuk mewakili Besut pada peringkat negeri, sekali gus mengukuhkan semula penyertaan daerah itu dalam arena tilawah al-Quran.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan