• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Bilal Masjid Putih Pertahan Juara Tilawah Al-Quran Terengganu

KUALA NERUS, 1 Mac - Bilal Masjid Abidin (Masjid Negeri), Abdul Hadi Che Abdul Halim, berjaya mempertahankan kejuaraan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak, Bandar Al-Wathiqu Billah di sini.

Terdahulu, Abdul Hadi, 31, dari daerah Kuala Terengganu telah memenangi kejuaraan tersebut pada tahun lepas.

Manakala, Johan Qariah pula disandang oleh Nor Jannah Abd Rahman, 33, dari Setiu.

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000 beserta piala iringan dan sijil penyertaan.

Mereka akan mewakili Terengganu pada Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan tahun ini yang dijadual berlangsung pada 23 Mei depan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA).

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada semua pemenang di Dewan Jubli Perak, Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus di sini.

Turut mengiringi Baginda, Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Terdahulu ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Abdul Hadi berkata, sepanjang menyertai tilawah peringkat negeri Terengganu bermula daripada 2016, beliau telah menjadi Johan empat kali dan naib johan tiga kali.

"Kunci kejayaan sentiasa menunaikan segala tuntutan dalam Al-Quran itu sendiri dari sudut jaga sebutan huruf, walaupun berlagu namun tidak pinggir akan tuntutan lain seperti tajwid dan sebagainya.

"Di samping, sentiasa mengambil pengalaman dengan menyertai setiap pertandingan Al-Quran yang diadakan di negeri ini," ujarnya.

 

 

 

 

 

 


Tag: