• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Bina Penempatan Baharu Mangsa Banjir Hulu Dungun

HULU DUNGUN, 13 Februari - Kerajaan dicadang untuk mewujudkan perumahan dan penempatan baharu bagi penduduk terkesan banjir termasuk dari Kampung Pasir Raja dan Kampung Syukur serta sekitarnya bagi mengelakkan mereka terbeban dengan kerugian harta benda serta masalah sama setiap tahun.

Serentak itu, penduduk kedua-dua kampung terlibat bersetuju sekiranya kerajaan negeri berhasrat mewujudkan rancangan tersebut di kawasan penempatan baharu yang lebih selamat daripada banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Raja, Tengku Mat Yunus Tengku Mat Rani, 62, berkata penduduk Kampung Pasir Raja bersedia menyahut seruan kerajaan negeri sekiranya kerajaan berhasrat membina kawasan perumahan baharu untuk mengatasi masalah tersebut.

Katanya, penduduk bersedia mengenalpasti kawasan yang sesuai dan akan membuat cadangan tersebut melalui JPKK kampung itu jika perlu.

Menurutnya penduduk bersedia membayar sewa beli rumah berkenaan dengan harga berpatutan sebagaimana syarat biasa memiliki rumah kerajaan.

"Walaupun pendapatan penduduk kampung tidak seberapa namun mereka bersedia membayar kadar sewa beli rumah yang berpatutan jika kerajaan bersedia membantu menyelesai masalah mereka dengan mengadakan perumahan mampu milik di kampung kami," katanya ketika ditemui di kampung Pasir Raja di sini hari ini sempena lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris di kampung tersebut.

Sementara itu Timbalan Pengerusi JPKK Syukur Che Wan Baderi Che Wan Hassan, 62, berkata lebih 100 penduduk kampung itu menerima tanah untuk perumahan seluas kira-kira 140 ekar di Kampung Bukit Tiong Sungai Perlis daripada kerajaan negeri.

JPPK Syukur dan penduduk kampung katanya memberi sokongan penuh sekiranya kerajaan berhasrat menjadikan tanah tersebut sebagai kawasan penempatan dan perumahan baharu supaya masalah terkesan banjir dapat diatasi.

"Kami bersedia membayar sewa beli rumah tersebut sebagaimana kesanggupan yang dibuat penduduk Kampung Pasir Raja," ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Setiap tahun penduduk kampung Pasir Raja dan Syukur menghadapi masalah banjir mengakibatkan rumah mereka ditenggelami air dan paling teruk tahun ini rumah mereka berhadapan dengan banjir lumpur.

Tinjuan UPDI mendapati keadaan rumah penduduk kedua-dua kampung tersebut ada yang belum pulih sepenuhnya dan masih terdapat kesan-kesan banjir di sekitar rumah mereka termasuk lumpur dan timbunan peralatan rumah yang rosak.

Untuk rekod, sebelum ini Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan untuk membina dua buah rumah yang musnah akibat banjir baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, dua kediaman tersebut membabitkan daerah Kemaman.

“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri melalui Tabung Bencana Negeri telah memberi peruntukan untuk membina dua kediaman mangsa banjir yang musnah di daerah Kemaman," jelasnya.

 

 

 

 


Tag: