• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

BN Terengganu Tidak Tergugat

Ahmad Razif yang turut ditemani isteri, To' Puan Seri Halina Zakaria berkesempatan melawat kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna pada Karnival Jom Sihat di Paya Bunga Square, Kuala Terengganu. Foto oleh Zulkifli CW Putra.

Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak tergugat dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Pas, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti tersebut bakal kembali merampas Terengganu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata semua parti yang bertanding akan mengatakan bahawa mereka akan menang.

Namun demikian, itu tidak menjejaskan kepercayaan rakyat Terengganu terhadap BN Terengganu untuk terus menyokong kerajaan sedia ada sekarang.

"Saya ingin nyatakan disini bahawa kebanyakan rakyat Terengganu hari ini telah menyatakan dengan jelas bahawa 'Terengganu molek doh'.

"Kalau 'Terengganu molek doh' jadi jelaslah hari ini kenapa kita hendak tukar lagi. Maknanya kita teruskan kerana agenda pembangunan membantu rakyat masih banyak lagi belum dilaksanakan hari ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Sihat Anjuran Lions Club Kuala Terengganu dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu di Paya Bunga Square, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu, Martin Tok dan Presiden Lions Club of Kuala Terengganu, Kee Wei Loon.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, BN Terengganu sudah berada di landasan yang betul dalam menghadapi PRU 14 ini dan tidak boleh membiarkan kesilapan sama pada tahun 1999 berulang kembali.

"Untuk kita perbetulkan sampai kepada tahap ini adalah bukan perkara yang mudah. Jadi kita haraplah rakyat Terengganu akan mengambil iktibar dengan apa yang pernah berlaku 1999-2004.

Jadikan ianya sebagai satu iktibar supaya perkara ini tidak akan berlaku lagi dan beri peluang kepada kerajaan sedia ada untuk meneruskan perjuangan kerana tidak ada lagi kerajaan sebaik BN berbanding parti-parti lain," katanya.

Tag: