• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bomba Salur Bantuan Kepada Keluarga Mangsa Kebakaran

KUALA NERUS, 18 Julai – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu terus membela mangsa kebakaran walaupun selepas tragedi itu berakhir melalui penyaluran bantuan kelengkapan rumah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Ketua BBP Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, sumbangan pihaknya berupa barangan elektronik dan wang tunai hasil derma semua anggota balainya sebagai tanda prihatin kepada mangsa.

Katanya, terbaru pihaknya mengambil inisiatif itu bagi membantu penduduk yang terlibat kebakaran di Kampung Kesom, Manir.

“Tabung bantuan buat mangsa Semek Mamat, 62, telah dilancarkan 14 julai lalu, ia merupakan satu manifestasi komitmen tanggungjawab sosial sesebuah jabatan terhadap masyarakat.

"Justeru itu, program ini dijalankan bagi menyemarakkan lagi semangat kesukarelaan di kalangan anggota dan juga masyarakat selaras dengan konsep 'Kebajikan Tanggungjawab Bersama', jelasnya ketika ditemubual pemberita.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut menziarahi dan menyalurkan bantuan kewangan kepada Semek Mamat selepas ditimpa kejadian yang memusnahkan 80 peratus bahagian rumahnya.

Menurut Setiausaha Politik beliau, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, pembinaan rumah baharu akan digerakkan secepat mungkin sebaik sahaja mendapat persetujuan tuan rumah.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu dan Tabung Darul Iman telah mengambil bertanggungjawab membantu mendirikan balik rumah yang musnah dalam kebakaran ini,” jelasnya.