• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Budayakan Amalan Hidup Sihat

DUNGUN, 4 Julai - Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dilancarkan kerajaan bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia agar membudayakan amalan gaya hidup sihat serta memperkasa rakyat dengan kawalan kesihatan kendiri. 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Alias Harun berkata, agenda tersebut berusaha untuk menjadikan kita sihat sejahtera sepanjang hayat.

"Pelaksanaan ANMS ini adalah penting bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik COVID-19," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu menyatakannya ketika berucap merasmikan Pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat 2022 Peringkat Daerah Dungun di Dewan Arena Merdeka di sini, baru-baru ini. 

Turut hadir, Pegawai Daerah Dungun, Yusman Ibrahim,  Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Azizul Ab Hadi, Pegawai Khas Ahli Parlimen Dungun, Mohd Amin Hamid, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Anuar Abd Rahman dan Pegawai Kesihatan Daerah Dungun, Dr Fathul Hakim Hamzah. 

Antara acara yang menyerikan program tersebut ialah ' ANMS Healthy Walk' : 10 Ribu Langkah, Pertandingan Tendangan Penalti(lelaki), Pertandingan Jaringan Gol- Bola Jaring( Wanita) dan Pertandingan Memasak Makanan Sihat. 

Beliau seterusnya menekankan bahawa ANMS ini adalah milik semua dan demi kesejahteraan semua rakyat negeri Terengganu, khususnya  di daerah Dungun. 

"Besarlah harapan saya agar kerjasama yang padu dan akrab ini akan dapat diteruskan demi memastikan pelaksanaan ANMS ini dapat dijayakan sepenuhnya dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara dengan menjadikan kesihatan sebagai satu keutamaan," katanya lagi. 

 


Tag: