• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bukan Islam Teruja Hadir Karnival Perpaduan

Oleh : Sofiah Ali

KUALA Nerus, 7 April - Keterujaan mereka yang bukan Islam untuk hadir ke Karnival Perpaduan terpancar di wajah masing-masing yang seolah-olah menantikan program sedemikian sejak sekian lama.

Seorang surirumah, Tan Leng Lyan, 43, memberitahu, dia datang awal pagi ke tapak karnival bertempat di Taman Desa Jaya Kampung Pak Damat, Bukit Tunggal. 

"'Auntie bangun awal hari ni, pukul 7 pagi mari doh, auntie masuk semua acara senamrobik, langkah perpaduan, mewarna auntie dapat nombor tiga, seronok program macam ni," kongsinya.

Bagi Nur Aisyah Cheng, 25 seorang mualaf berkata, dia seronok mendapat info-info baharu tentang ajaran Islam. 

"Aisyah rasa bangga dapat ikut program dialog ni, Aisyah dapat belajar ilmu baru terutamanya tentang apa maksud dari perkataan kafir, sebab bagi orang bukan Islam mereka sangat sensitif dengan perkataan kafir," katanya yang baharu memeluk Islam tahun lepas. 

Karnival tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) Pertumbuhan Cakna Sahabat Kuala Nerus, Terengganu dengan kerjasama Lajnah Dakwah PAS Kawasan Kuala Nerus.

Ianya dimeriahkan dengan pelbagai acara antaranya  Sukaneka Perpaduan, 'Explorace Ameerah, Langkah Perpaduan, Jamuan Rakyat, Dialog dan Ziarah Perpaduan. 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Program, Tuan Che Roslina Tuan Sulaiman berkata, karnival tersebut mensasarkan masyarakat bukan Islam untuk mereka mendapat maklumat sehingga akhirnya memeluk Islam. 

Beliau  yang lebih mesra dipanggil Che Na tidak menyangka sambutan masyarakat  terhadap program tersebut di luar jangkaan. 

"Pada mulanya, Che Na bimbang program tidak mendapat sambutan tetapi apabila sampai di tapak program, Alhamdulillah orang ramai datang sama ada pemuda muslimat muda serta Ibu bapa, kehadiran yang sangat menggalakkan,ramai yang turun untuk menyertai pelbagai acara program yang telah disusun.

"Karnival seperti ini boleh dianjur lagi ditempat lain supaya sasaran itu lebih luas seperti Tepoh, di sana ramai masyarakat yang bukan Islam," Katanya.


Tag: