• 25 Jul 2024 | 18 Muharam 1446

Burhan Juara Pidato Piala SUK Terengganu 2024

KUALA TERENGGANU, 2 Julai – Penolong Pegawai Undang-Undang Majlis Daerah Besut, Ahmad Burhan Sadqi A Rahim, 40, muncul sebagai juara dalam pertandingan pidato sektor awam Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Burhan berkata, beliau pernah mengikuti tiga pertandingan pengucapan awam iaitu Pidato Rukun Negara 2020, Gegar Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tahun 2020 dan Pidato Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2021.

Menurutnya, medan pertandingan pidato merupakan platform penting untuk menyebarkan ilmu kepada pendengar.

"Saya akan mengkaji terlebih dahulu bahan yang diperlukan sebelum menerjemahkannya di dalam tulisan sekali gus pidato.

“Ada beberapa perkara yang kita pentingkan terutamanya bila bercakap tentang tadbir urus. Terengganu Strategic and Integrated Studies (TSIS) adalah institusi yang sentiasa memainkan peranan," katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas pertandingan berkenaan.

Tambah Burhan, dalam teks pidatonya, beliau memberi penekanan berkenaan dengan tadbir urus rabani dalam dasar integriti Darul iman iaitu melalui tujuh teras utama.

“Jadi, sebagai saranan Yang Berhormat Mulia Tengku, kita semua penjawat awam negeri terutamanya perlu dalami apa yang ada pada tujuh teras itu,” katanya.

Burhan juga berhasrat untuk terus menyebarkan dakwah dan ilmu pengucapan awam kepada mereka yang berminat. 

"Dalam pada itu, sekiranya diberikan kesempatan untuk menyertai pertandingan pidato saya tidak akan melepaskan peluang tersebut.

“Keinginan untuk menyertai pertandingan yang lebih besar wujud kerana setiap pentas memberikan peluang untuk mempelajari ilmu baru,” ujarnya.

Beliau juga turut melahirkan ucapan terima kasih kepada isteri, ibu bapa, guru-guru dan sahabat pidato.

“Terima kasih semua pihak terutamanya kepada pihak penganjur antaranya yang mengadakan aktiviti yang cukup bermanfaat ini,” katanya.

Sementara itu, pemenang tempat kedua pula menjadi milik guru Sekolah Rendah Islam Darul Iman Permaisuri, Muhammad Sollehin Mohd Shah, 29, manakala Guru Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah, Dungun, Mohd Syafiq A Ghani, 33, di tempat ketiga.

Pemenang tempat kedua dan ketiga itu masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM1,000 dan RM700 serta piala iringan. 

 


Tag: