• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Cabaran Hadapi SPM Norma Baharu

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 19 Februari- Para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hendaklah menganggap kesukaran mengikuti pembelajaran ketika norma baharu akibat pandemik COVID-19 sebagai satu cabaran.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, calon SPM perlu kuat semangat serta perlu fokus untuk menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula 22 Februari ini.

“Sekarang ini kita berada dalam suasana pandemik COVID-19 yang merupakan satu cabaran bersifat global, bukan sahaja di negeri kita tapi di seluruh negara 

‘Kalau kita nak berjaya kita tak boleh menjadikan apa sahaja alasan termasuk COVID-19 sebagai penyebab mengapa kita tak boleh berjaya, walaupun kita tidak berpeluang belajar macam biasa sebab pandemik ini.

“Saya mengharapkan itu semua adalah cabaran yang tidak boleh melemahkan kita. Anggaplah itu sebagai cabaran yang boleh menguatkan kita untuk pergi lebih jauh kerana kita ada matlamat yang lebih penting,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara atas talian dalam Program Motivasi Santai Bersama Calon SPM 2020, Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh, Besut di pejabat DUN Terengganu, baru-baru ini.

Beliau turut menasihati semua para pelajar yang bakal mendudui peperiksaan SPM agar menjaga kesihatan, tidur yang cukup, makan makanan berkhasiat serta menjaga prosedur operasi standard (SOP).

Selain itu, katanya para pelajar juga sentiasa ada hubungan dengan Allah SWT dan 'bangun malam' kerana ia adalah senjata utama umat Islam.


Tag: