• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Cacat Penglihatan Tidak Halang Raih Pahala Ramadan

KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Tidak nampak di mata, tetapi terang di hati, golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan  turut tidak mensia-siakan kehadiran bulan Ramadan dengan bertadarus menggunakan al-Quran Braille.

Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, tadarus dilakukan dengan bimbingan 10 orang guru al Quran di pejabat Pertis yang terletak di Seberang Takir, Kuala Nerus.

"Selain mempelajari tajwid dan membaca al Quran dengan tartil, guru juga akan memberi penerangan tentang kisah di sebalik turunnya sesuatu ayat tersebut.

"Ini penting untuk kita lebih memahami dan menghayati sirah Rasulullah SAW dan kisah nabi-nabi yang lain untuk diambil iktibar.

"Kami berazam untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk al Quran pada setiap Ramadan sebagai tanda kesyukuran dan mahu menyemarakkan lagi kesucian bulan mulia ini," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurutnya, Pertis Terengganu mempunyai 400 orang namun setakat ini, hanya 70 ahli sahaja yang menyertai program tadarus Ramadan tersebut.

Tambah Mohd Fauzi lagi, kelas Tadarus diadakan tiga kali setiap minggu dan menghimpunkan semua peserta yang datang dari seluruh Terengganu.

"Insya-Allah, Pertis Terengganu sentiasa istiqamah dalam memperkasakan penguasaan OKU cacat penglihatan membaca al Quran melalui kelas tadarus sepanjang Ramadan ini," katanya.