• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Calon STPM Kemaman Terima Sumbangan

KEMAMAN, 22 Januari - Seramai 80 calon pelajar yang akan menduduki peperiksan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 bagi daerah Kemaman menerima sumbangan berbentuk wang tunai, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sebahagian peruntukan diberikan kepada mereka bagi memastikan kebajikan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi terjamin.

"Mereka perlu merasa lebih rasional, senang hati, serta melupakan kejadian banjir besar yang telah berlaku di Kemaman, baru-baru ini.

"Apa yang paling penting adalah mereka akan menduduki peperiksaan STPM tidak lama lagi. Jadikan apa yang berlaku itu sebagai sempadan untuk mereka terus melangkah lebih jauh.

"Sebelah kaki sudah berada di universiti, hanya tinggal sebelah lagi kaki untuk mereka melangkah menuju ke sana.

"Kejayaan mereka bukan hanya untuk diri mereka sendiri, bahkan ianya juga merupakan impian guru-guru, ibu bapa dan masyarakat untuk melihat mereka cemerlang dalam peperiksaan dan juga menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas selesai majlis.

Mewakili pihak kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Hanafiah melahirkan rasa gembira apabila dapat meraikan pelajar-pelajar tersebut dengan keluarga, masyarakat dan orang sekeliling mengimpikan untuk melihat pelajar-pelajar itu mengejar kejayaan.

Dalam pada itu, semua calon STPM yang hadir dan terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, SMK Chukai dan SMK Badrul Alam Shah telah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 seorang dalam Majlis Penyerahan Dana Mangsa Banjir Calon STPM Daerah Kemaman.

Majlis itu diadakan secara ringkas di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai.


Tag: