• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Candat Sotong : 500 Bot Turun ke Laut Setiap Hari

MARANG, 4 Julai - Dianggarkan hampir 500 bot turun ke laut setiap hari dengan lebih 5,000 pencandat yang mengambil bahagian dalam aktiviti mencandat sotong di sekitar Pulau Kapas dan lokasi-lokasi pilihan lain di Terengganu pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata Program 'Soft Launching' Musim Candat Terengganu 2024 berjaya menarik lebih 250 peserta dari seluruh Terengganu untuk menyertai Pesta Candat Sotong yang berlangsung di perairan Pulau Kapas hari ini.

Menurutnya, usaha Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menganjurkan program tersebut adalah untuk mengembalikan populariti musim mencandat sotong dengan melibatkan seluruh daerah.

"Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada penggiat industri pelancongan untuk bersatu dalam aktiviti yang dinanti-nantikan ini, tetapi juga memperluaskan fokus kepada lokasi mencandat lain di seluruh Terengganu, termasuk Pulau Perhentian, Besut dan Pulau Chepu, Setiu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian 'Soft Launching' Musim Candat Terengganu 2024 bertempat di Jeti Marang di sini semalam.

Tambah Razali, program itu secara tidak langsung untuk memberi rangsangan ekonomi kepada pelbagai sektor seperti pengusaha bot nelayan, pengusaha hotel dan resort, serta peniaga tempatan.

"Aktiviti mencandat sotong yang popular bermula pada waktu senja sehingga awal pagi menarik minat pelancong tempatan dan luar negara.

"Program ini adalah langkah positif dalam usaha untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan negeri ini dengan lebih merata ke seluruh daerah, seiring dengan saranan kerajaan untuk memperluaskan kepelbagaian destinasi pelancongan di Terengganu," ujarnya.

 


Tag: