• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Cegah Awal Perangi Dadah


Oleh : Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU, 27 Disember- Ibu bapa dinasihatkan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak supaya tidak terjebak dengan najis dan pengaruh dadah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, masalah dadah dalam kalangan remaja sangat membimbangkan serta tidak berkesudahan disebabkan beberapa faktor terutamanya pergaulan bebas serta mempunyai masalah dalaman keluarga.

"Penyebab kepada masalah dadah ini adalah berpunca dari masyarakat Melayu yang terlalu bebas terutamanya anak- anak muda di peringkat sekolah rendah dan juga sekolah menengah.

"Mereka ini bebas keluar dari institusi keluarga tanpa mengira masa sama ada pagi, petang hingga ke lewat malam khususnya di waktu cuti.

"Jadi kebebasan itulah yang membuka ruang unsur-unsur dadah ini masuk ke dalam diri yang menyebabkan mereka tidak kuat untuk menolak ajakan rakan- rakan yang lain," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika merasmikan Majlis Pendaftaran Murid Tahun Satu Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di Ajil, semalam.

Ustaz Maliaman Kassim yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pencegahan Dadah (JKPD) Hulu Terengganu berkata, masalah pengedar dadah yang ramai merupakan antara punca masalah ini tidak dapat diselesaikan.

"Pengedar dadah yang bergerak bebas dan berleluasa serta  tidak dapat dikawal menyebabkan penagih dadah semakin ramai.

“Disebabkan itu pihak berkuasa perlu menangani masalah ini dengan lebih sistematik serta mencari penyelesaian yang konkrit," jelasnya.

Beliau juga meminta ibu bapa mencontohi golongan kaum Cina yang mengehadkan pergerakan anak- anak mereka.


"Sekarang ini peranan ibu bapa mengawal anak- anak mereka supaya tidak terlalu bebas seperti masyarakat cina yang mengongkong anak- anak mereka.

"Anak- anak mereka walaupun tidak ke sekolah mereka tinggal di pusat- pusat perniagaan, menjadi tukang paip, jurujual, dan sebagainya. Ini disebabkan oleh kawalan keluarga mereka yang kemas dan mementingkan kualiti hidup.

"Oleh itu ibu bapa perlu luangkan masa bersama anak- anak ke pusat rekreasi, makan bersama dan sebagainya supaya masalah mereka dapat didengari dan diselesaikan," tegasnya.

Tag: