lightning-solid
Berita :
Celik Kewangan Benteng Rakyat Elak Simpanan Lesap
Celik Kewangan Benteng Rakyat Elak Simpanan Lesap
Naim Fadhilah Kamaruddin
2 jam yang lepas
40

DUNGUN, 19 Ogos - Celik kewangan perlu diperkasa dalam kalangan rakyat bagi memastikan simpanan yang dikumpul sepanjang tempoh bekerja tidak lesap akibat pengurusan kewangan yang lemah, skim cepat kaya atau menjadi mangsa penipuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, literasi kewangan penting bagi membantu masyarakat merancang kewangan dengan lebih baik, khususnya sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas persaraan.

Menurutnya, jumlah simpanan yang besar tidak menjamin kehidupan yang selesa sekiranya wang berkenaan tidak diurus secara berhemah.

“Kadang-kadang orang dapat KWSP RM500,000 atau RM1 juta, tetapi wang itu tidak bertahan lama. Paling malang apabila masuk skim cepat kaya atau menjadi mangsa penipuan, akhirnya duit hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Mini Karnival Kesejahteraan Rakyat peringkat DUN Sura di sini hari ini.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, masyarakat perlu memahami perjalanan kewangan sendiri termasuk cara mengurus pendapatan, simpanan dan perbelanjaan supaya sumber kewangan yang dimiliki dapat dimanfaatkan untuk jangka panjang.

Tambahnya lagi, pelbagai inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti i-Suri dan i-Saraan turut memberi peluang kepada masyarakat membuat persediaan kewangan untuk usia persaraan.

“Apabila sampai umur 55 hingga 60 tahun, kita masih ada sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan. Tetapi semua itu bergantung kepada celik kewangan dan bagaimana kita mengurusnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran skim cepat kaya atau pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

“Yang paling penting adalah bagaimana kita menguruskan kewangan dengan cara yang baik supaya kita mempunyai simpanan dan dapat menggunakan rezeki yang Allah SWT berikan dengan sebaiknya,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan