• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Chicken Cottage Buka Cawangan Baharu di Lembah Klang

Ahmad Razif mencuba sajian Chicken Cottage semasa merasmikan cawangan baharu Chicken Cottage di Lembah Klang. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail


Restoran makanan segera, Chicken Cottage, memperluaskan rangkaiannya dengan membuka cawangan di Lembah Klang yang merupakan cawangan kedua di Malaysia selepas cawangan yang pertama terletak di Kuala Terengganu.

Premis terbaharu yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Kuala Lumpur itu menjadikan restoran makanan segera yang berstatus halal itu adalah cawangan ke-90 di seluruh dunia.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Chicken Cottage turut menyasar pembukaan cawangan di Putrajaya dan Johor dalam masa terdekat.


"Untuk membuka cawangan baharu Chicken Cottage, kita melakukan kajian dan mengenal pasti demografi kawasan sekurang-kurangnya enam bulan bagi memastikan kelancaran operasi dan tenaga kerja yang mencukupi.

"Francais berpeluang meluaskan jenama ini hingga ke luar negara namun memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk satu cawangan di dalam negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan cawangan terbaharu Chicken Cottage itu, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Chicken Cottage Holdings Sdn Bhd, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail; Presiden Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Dr Wan Rudirman Wan Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Chicken Cottage (M) Sdn Bhd, Mohd Anuar Osman.


Ahmad Razif berkata, Chicken Cottage memiliki sijil pengesahan halal daripada jabatan agama di dalam dan luar negara, justeru tidak menjadi isu sekiranya jenama itu diuar-uarkan dengan meluas.

"Menerusi konsep ‘halalan toyyiban’, kerajaan negeri akan memastikan francais terutama di luar negara, mampu membawa jenama Chicken Cottage, seiring dengan konsep patuh syariah.

"Pembukaan cawangan di luar negara memberi peluang kepada umat Islam untuk menikmati makanan halal malah masyarakat bukan Islam turut bersetuju dan menerima konsep ini kerana menyediakan makanan berkualiti dan bersih," katanya.


Ahmad Razif berkata,  dalam masa lima tahun akan datang, 250 cawangan Chicken Cottage disasar beroperasi di seluruh dunia dan 50 daripadanya akan berfokus di Asia Tenggara.

“Di Dubai lima cawangan dijangka akan dibuka pada tahun ini, kemudian di Nigeria dan di beberapa lagi negara lain termasuk Pakistan dan sebagainya.

“Kita turut memberi tumpuan  kepada negara jiran seperti Singapura, Thailand, China dan India,” ujarnya.

Tag: