• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Cinta Tanah Air Selaras Anjuran Agama

 

Rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan negara pada setiap 31 Ogos saban tahun. Namun, apakah kita benar-benar mengerti makna sebuah kemerdekaan dan kebebasan yang diperjuangkan nenek moyang kita selama hampir 500 tahun lalu?

Negara merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada sesuatu bangsa atau umat. Perlu kita sedari, keamanan, keselesaan dinikmati yang dikecapi hari ini, perlu sentiasa disyukuri dan dipelihara dengan sebaiknya.

Kewujudan sesuatu bangsa dan tamadun terletak pada kesungguhan dan kecintaan anggotanya untuk membangun dan mensejahterakan kehidupan berpandukan wahyu Ilahi dan sunnah Rasulullah SAW.

Sebaliknya, kaum yang cenderung melakukan kerosakan dalam erti kata melanggar perintah, hukum serta larangan Allah SWT dan Rasul-Nya akan membawa mudarat kepada negaranya sebagaimana yang dialami oleh kaum Aad, kaum Tsamud dan kaum Nabi Lut.

Allah SWT telah mengingatkan manusia melalui Surah al-Baqarah, ayat ke-122 yang bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka; janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: sesungguhnya kami orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang yang sebenarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”

Kecintaan kita pada negara perlu dibuktikan dengan tindakan yang positif dan konsisten. Orang yang mencintai negara akan selalu menjaganya dari sebarang ancaman dan kerosakan.

Hakikatnya, setiap manusia itu memiliki kecintaan kepada tanah airnya sehingga dia berasa aman menetap di dalamnya dan selalu merindukannya apabila jauh darinya, malah mempertahankannya ketika diserang dan berasa marah ketika negaranya dicela.

Dengan kata lain, mencintai tanah air itu sudah menjadi tabiat asal manusia.

Rasulullah SAW sendiri pernah menzahirkan kecintaannya kepada Mekah sebagai tempat kelahirannya. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA yang bermaksud:

“Dari Ibnu Abbas RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, ‘Alangkah baiknya engkau sebagai sebuah negeri, dan engkau merupakan negeri yang paling aku cintai. Seandainya kaumku tidak mengusirku dari engkau, nescaya aku tidak tinggal di negeri selainmu” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Berdasarkan tindakan Baginda itu, jelas memberi kesimpulan bahawa mencintai negara merupakan suatu sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia dan ia dianjurkan dalam Islam.

Sesungguhnya bumi yang dipijak ini ialah tanah tumpah darah kita. Di sinilah perlunya kita memelihara keamanan untuk hidup berpadu penuh kedamaian.

Pada masa sama, kita turut bertanggungjawab menjaga kesucian agama dan kedaulatan negara daripada sebarang anasir keganasan, kezaliman mahupun penindasan.


Tag: