Berita :
DUAT Giat Cari Sahabat Muda, Perkasa Ekosistem Dakwah
DUAT Giat Cari Sahabat Muda, Perkasa Ekosistem Dakwah
Adli Mohamad
1 hari yang lepas
146

KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Kerajaan negeri melalui Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT) giat mencari sukarelawan yang berusia 17 hingga 40 tahun bagi memperkasakan ekosistem dakwah di Terengganu yang dikenali sebagai Sahabat DUAT.

Pengarah DUAT, Mohd Zulkhairi Ngah berkata, setakat ini yang telah menyertai dan telah berdaftar seramai 126 orang yang terdiri dari kalangan mahasiswa, para ustaz-ustazah, mereka yang terlibat aktif dalam pelbagai pertubuhan serta kalangan anak-anak muda.

Katanya, semua sahabat DUAT ini memainkan peranan bagi mengerakkan kerja-kerja dakwah bersepadu melalui pelbagai lapangan dan platform bagi memastikan agenda memperkasakan modal insan sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) dapat dicapai.

"Agenda dakwah yang dijalankan merangkumi masyarakat, dakwah di jalanan, menjadi aktivis kemanusiaan termasuk memperjuangkan bumi Palestin.

"Dalam masa yang sama berusaha mewujudkan 'daie motivator', 'daie faraid' dan 'daie mualamat' yang akan bergerak menyampaikan ilmu di meja kuliah dan juga di medan dakwah," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri Majlis Perasmian 'Training Of Society' dan Pelancaran Sahabat DUAT, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata usaha dijalankan bagi memastikan lebih ramai menyertai Sahabat DUAT bagi mewujudkan sukarelawan yang menjalankan kerja dakwah secara tidak langsung memenuhi tuntutan ajaran Islam yang mewajibkan adanya kumpulan manusia yang menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.

"Apabila mereka menyertai Sahabat DUAT ini akan mendorong untuk belajar, menuntut dan mendalami ilmu agama.

"Sahabat DUAT ini berada di bawah portfolio Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu,"katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan