• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

‘Cukuplah Bergaduh’ - Dr Azman Ibrahim

Dr Azman.


Oleh : Hidayah Azlin

BESUT, 7 Januari – Setiap anggota masyarakat diseru untuk membina suasana damai dan menyelami keindahan kehidupan dengan mencari titik persamaan selaras dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, kemakmuran yang dikecapi hari ini perlu dijalinkan seerat mungkin dengan mengetepikan perbezaan sesama sendiri.

“Marilah kita ketepikan perbezaan dan cari titik persamaan yang menjadi asas penyatuan ummah terutamanya di negeri ini.

“Perbalahan tak membawa kita ke mana-mana. Iraq dan Iran mengakhiri perang selama lapan tahun tanpa dapat apa-apa sebaliknya jutaan rakyat yang gugur di medan perang,” katanya yang kali pertama menyampaikan kuliah di Masjid Kampung Telaga Nibong, Hulu Besut, semalam.

Katanya lagi, tidak wajar setiap rakyat menjadikan perbezaan parti politik sebagai alasan untuk terus bergaduh dan tidak bermanis muka.

“Walaupun Hulu Besut diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), saya pesan kepada pengerusi masjid, selepas ini jangan lupa jemput Nawi Mohammad pula memberi kuliah.

“Di zaman penyatuan ummah ini ketepikan perbezaan, cari titik persamaan. Bina ukhuwwah dan kurangkan berbalah,” tegasnya.


Tag: