• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dadah Perosak Institusi Keluarga

DUNGUN, 22 Ogos - Penyalahgunaan dadah telah banyak merosakkan institusi keluarga dan masyarakat seharusnya menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing agar ahli keluarga terutamanya tidak terjebak dengan kegiatan tidak berfaedah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, beliau merasa kecewa kerana masih ada lagi manyarakat yang tidak mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku sebelum ini.

"Dulu abang mati kesan daripada dadah, hidup tidak terurus, kurus kering, tapi bila abang mati, adik pula yang ambil dadah, langsung tidak mengambil pengajaran," katanya ketika berucap di Program Sekampit Beras Seekor Ayam di Balai Raya Kampung Rantau Abang, di sini. 

Seramai 50 orang penerima daripada empat buah kampung iaitu Kampung Baru Kuala Abang, Rhu Batil, Rantau Abang dan Kuala Abang menerima bantuan pada program yang diadakan sempena 'YB ADUN Rantau Abang Bersama Rakyat di UDM Kuala Abang itu.

Seterusnya, beliau turut mengajak agar masyarakat setempat bersama-sama membendung dan mengawasi anak-anak dengan sentiasa mengambil tahu aktiviti seharian anak-anak. 

"Kenali kawan anak-anak kita, pastikan anak kita sembahyang, jangan tinggal sembahyang,'sesungguhnya solat itu mencegah mungkar', sama-samalah kita berdoa supaya bala ini tidak kena kepada keluarga kita, " katanya. 

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program yang bertujuan mendekati masyarakat di keempat-empat komuniti tersebut iaitu solat dan tazkirah subuh, sembang kedai kopi, menziarahi sebanyak 60 buah rumah terpilih , tukar minyak hitam motosikal untuk 50 buah motosikal terawal dan Majlis Bacaan Yasin untuk muslimat di rumah salah seorang penduduk kampung. 


Tag: