Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
Oleh : Mohd Safwan
BESUT, 3 Julai– Program Street Dakwah Awal Muharam-Hijratul Rasul SAW dan Soal Jawab Agama mencetuskan perhatian ramai apabila pendekatan dakwah terbuka itu berjaya menarik minat masyarakat untuk mendekati ilmu agama.
Menurut Duat DUN Jerteh, Ustaz Adib Abdul Aziz, program sebegini telah dilaksanakan secara berkala bersempena dengan pelbagai peristiwa besar Islam seperti Ramadan, Aidiladha dan Israk Mikraj.
Jelas beliau, objektif utama ialah menyemarakkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat umum secara santai tetapi berkesan.
“Dengan kehadiran orang ramai di pasar, kita ambil peluang ini untuk menyampaikan mesej Islam dan menjawab persoalan mereka secara terus melalui sesi bersama pengkuliah jemputan,” katanya di Pasar Tani Alor Lintah baru-baru ini.
Program kali ini menampilkan Ustaz Adam Said, Mudir Pusat Tarbiyyah Nurul Iman Besut, yang menjawab pelbagai persoalan agama daripada orang awam, termasuk isu-isu ibadah, kekeluargaan dan kekeliruan berkaitan hukum.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Noor menyifatkan pendekatan dakwah di tempat awam sebagai satu keperluan mendesak dalam mendekati golongan yang jarang hadir ke masjid atau surau.
“Kita tidak boleh hanya tunggu orang datang ke surau, sebaliknya kita perlu bawa dakwah ke tempat mereka berada pasar, taman, medan selera.
"Inilah bentuk dakwah Rahmatan Lil ‘Alamin yang merakyat,” jelasnya.
Salah seorang pengunjung, Muhammad Mushairi Muslim, 31, menyifatkan program ini sangat bermanfaat kerana para pengunjung dan peniaga dapat terus bertanya kepada ustaz berautoriti tentang kemusykilan agama mereka.
“Ini cara dakwah yang mesra dan berkesan, patut diteruskan di lebih banyak lokasi,” ujarnya.
Program ini mencerminkan usaha berterusan pihak DUN Jerteh dan institusi agama tempatan dalam memastikan dakwah Islam dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau lokasi.