Dapat Peruntukan RM499,270, Stadium Hoki Diberi Nafas Baru

KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu meluluskan peruntukan khas berjumlah RM499,270.00 bagi tujuan penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan sukan di Stadium Hoki termasuk kerja-kerja lain yang berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, langkah ini selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memastikan kemudahan sukan berada dalam keadaan baik demi keselesaan dan keselamatan para atlet serta pengguna.

"Peruntukan berkenaan diluluskan oleh Perbendaharaan Negeri Terengganu pada 26 Februari 2025 dan akan disalurkan melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

"Surat Setuju Terima (SST) akan dikeluarkan
pada pertengahan Mei 2025," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Menurutnya, pada saat ini, pihak kerajaan negeri belum mempunyai apa-apa perancangan untuk membina stadium hoki kedua di Kompleks Sukan Gong Badak.

Sementara itu, Kerajaan Negeri turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang mencatat sejarah dengan menjuarai trebel musim ini – Liga Hoki Malaysia (MHL), Piala Sumbangsih dan Piala TNB Premier 2025.

"Kerajaan negeri telah menerima cadangan insentif daripada Persatuan Hoki Terengganu dan akan membawa perkara ini untuk dipertimbangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan datang," jelasnya.


Tag: