KUALA TERENGGANU, 1 Februari – Program Dapur Hijau dan Ayam Penelur dilihat sebagai antara inisiatif berkesan dalam memperkasakan wanita dan memperkukuh keselamatan makanan isi rumah, khususnya di Terengganu.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, inisiatif pertanian yang dilaksanakan khusus kepada wanita di Kelantan memberi gambaran lebih jelas berkaitan pelaksanaan projek Dapur Hijau dan Ayam Penelur yang sedang dilaksanakan di negeri serambi Mekah.
“Berpandangan kedua-dua program ini sangat sesuai dilaksanakan di Terengganu kerana ia memberi manfaat langsung kepada wanita, terutamanya suri rumah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini mengulas mengenai Kunjung Hormat ke Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail pada 28 Januari lalu.

Malah, katanya, mereka berpeluang menjual lebihan hasil kepada jiran terdekat, sekali gus menjimatkan kos dan memudahkan akses kepada bahan makanan segar.
Tambahnya, program tersebut turut menggalakkan suri rumah memanfaatkan halaman kediaman untuk bercucuk tanam, selain membuka peluang pendapatan apabila sebahagian peserta mampu mengembangkan tanaman secara lebih besar untuk dijual di pasar tani, termasuk benih dan anak pokok.
“Saya berharap dengan pertemuan dua negeri ini dimanfaatkan dengan bertukar pandangan dan idea di antara dua pihak berkaitan pertanian wanita melalui perbincangan bersama Exco Pertanian,” tambah beliau lagi.
