• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Destinasi Pelancongan Terjejas Banjir Bakal Dibaik Pulih

HULU DUNGUN, 14 Februari - Kerajaan negeri komited untuk membaik pulih dan memulihara destinasi pelancongan di Hulu Dungun yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini..

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kolaborasi antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan sedia terjalin akan berusaha bagi mengekalkan keaslian destinasi pelancongan di daerah itu.

"Begitu juga penduduk setempat memberi kerjasama yang baik bagi memastikan keaslian alam semula jadi di sini terus terjaga," katanya ketika mengadakan lawatan ke kawasan pelancongan terjejas banjir di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman, Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim dan beberapa pegawai lain dari agensi kerajaan persekutuan dan negeri Terengganu.

Razali berkata kolaborasi dan pemuliharaan kawasan tersebut perlu dilaksanakan segera kerana banjir yang melanda daerah itu adalah luar biasa sekali gus usaha bagi membaik pulih kawasan pelancongan itu memakan belanja yang begitu besar.

"Pejabat Daerah sebagai tuan rumah bersama agensi-agensi terlibat dengan pembangunan di kawasan Pasir Raja ini, perbincangan mereka dan pelaksanaan pemulihara destinasi pelancongan akan dilaksanakan sebelum hari raya Aidilfitri ini," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai perancangan pelancongan pasca banjir di daerah itu, Razali berkata Hulu Dungun merupakan hutan hujan Asia Tenggara terbaik yang masih tidak tercemar dan perlu dipelihara sebagai aset pelancongan negeri Terengganu.

"Justeru itu kita (kerajaan) akan meneruskan agenda pelancongan berasaskan komuniti (Community Base Tourism) yang dimiliki oleh penduduk sendiri," tambahnya.

Justeru katanya kerajaan akan memberi penjelasan cara pengurusan pelancongan supaya Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) dan NGO setempat mengambil bahagian mengurus kawasan tersebut sebagai pendapatan tambahan mereka.

Kampung Pasir Raja dan Kampung Syukur mempunyai destinasi pelancongan menarik untuk anak muda yang suka aktiviti lasak termasuk 'jungle trecking', aktiviti pacuan empat roda, memancing dan sukan air.

Justeru katanya kerajaan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan lain akan menyusun aktiviti pelancongan untuk manfaatkan keaslian alam semula jadi di daerah itu sebagai daya tarikan pelancongan popular negeri Terengganu. 


Tag: