• 03 Nov 2024 | 01 Jamadil Awal 1446

Rakyat Dedikasi Lagu 'Diesel Naik Harga' Buat Kerajaan

Biarpun sudah lebih 10 hari berlalu, rakyat Malaysia masih belum puas bercakap tentang isu kenaikan harga diesel.

Bukan hanya orang muda yang bersuara, malah masyarakat pelbagai peringkat umur dan latar belakang turut mempamerkan pandangan serta rasa ‘geram’ masing-masing.

Justeru sebagai tanda ‘mengingati’ tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, wujud beberapa individu dan kumpulan menghasilkan banyak lagu yang memperlihatkan 'kesakitan' dilalui oleh rakyat.

Lagu-lagu berkenaan juga secara sinis mengingatkan semula pemimpin tentang janji yang pernah dilaungkan ketika bergelar pembangkang.

Respons yang diterima daripada pendengar pula amatlah mengejutkan, rata-rata masyarakat suka dan sangat bersetuju dengan lirik serta penghasilan lagu tersebut yang mengambarkan isi hati mereka.

“Wah, terbaik lagu ini, kena dengan suara dan perasaan rakyat ketika ini.

“Dulu berjanji lain, sekarang buat perkara lain, mempermainkan hati kami,” komen seorang pengguna TikTok di klip video lagu berkenaan.

Selain itu, ada juga rakyat yang bersuara supaya lagu-lagu seperti itu diperbanyakkan agar pemimpin yang berada di puncak kuasa sedar dan tidak lupa diri.

“Tularkan lagu-lagu ini, biar semua orang sedar apa yang sedang berlaku.

“Kita bukan ‘patung’ untuk dibuat mainan sesuka hati, rakyat ada hati dan perasaan,” jelas individu itu.

Tinjauan di media sosial mendapati sekurang-kurangnya lima lagu dan klip video yang berkisar tentang kenaikan harga diesel.

“Setiap hari ada lagu baru, ingatkan seminggu sekali, kreatif sungguh rakyat Malaysia,” ujar seorang pengguna media sosial.

Apa-apa pun, ini adalah manifestasi rasa tidak puas hati rakyat kepada pemerintah yang sepatutnya diberi tumpuan.

Jiwa ‘memberontak’ ini muncul dek kerana janji yang bukan hanya tidak ditepati, tetapi melakukan sesuatu yang sangat bertentangan dengan harapan rakyat.

Lidah Pengarang.


Tag: