• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

Diesel Naik Harga, Rakyat Tertekan

KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Pengumuman mengenai kenaikan harga diesel daripada RM2.15 kepada RM3.35 susulan penarikan subsidi oleh Timbalan Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Amir Hamzah, telah menimbulkan kebimbangan ramai terutamanya berkenaan kesan kepada rakyat dan perniagaan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim, turut menyuarakan kebimbangan beliau tentang kenaikan harga barang yang mungkin berlaku akibat kenaikan subsidi diesel tersebut.

“Walau bagaimanapun saya memahami banyak perbincangan telah dibuat untuk mengambil kira kesan kepada kenaikan harga subsidi ini yang sudah tentu akan memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barangan dan sebagainya,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam.

Amzad turut mengulas berhubung kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam pelaksanaan pemberian diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 melibatkan sembilan jenis kenderaan sektor pengangkutan darat.

“Saya tengok bahawa disebut bagi syarikat pengangkutan yang terlibat dalam logistik ini diperkenalkan kad fleet untuk dapat pada harga kekal subsidi iaitu RM2.15 seliter.

“Soalan saya, syarikat logistik di dalam negara ini banyak, daripada syarikat logistik yang besar yang tersusun sehingga syarikat lain termasuk lori pak mat (orang biasa) yang bawa barang, jadi adakah mereka semua ini akan dapat kad fleet yang berkenaan, yang akan membolehkan mereka menikmati subsidi?,” soal Amzad.

Amzad turut menekankan pentingnya untuk memastikan semua yang layak menerima subsidi, terutama program RM200 yang diuruskan oleh Budi Madani, didaftarkan dengan betul.

Bermula tengah malam tadi, harga diesel diselaraskan mengikut pasaran semasa dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia, ditetapkan pada RM3.35 seliter.

Sementara itu, seramai 30,000 penerima Budi Madani individu dan Budi Agri-Komoditi meliputi petani dan pekebun kecil komoditi menjadi kumpulan pertama menerima bantuan bulanan RM200 yang didepositkan ke akaun masing-masing mulai tengah malam tadi.

“Sekarang ini disebut untuk fasa pertama yang melalui Budi Madani ini. RM200 subsidi akan dimasukkan kepada seramai 30,000 penerima bersamaan RM6 juta. 

“Jadi berapa ramai yang telah mendaftar dengan Budi Madani kerana sebelum ini sistem Padu boleh dikatakan gagal, ramai yang tidak mendaftar dan ada negeri seperti Sarawak misalnya tidak menyembunyikan bahawa mereka sangsi terhadap Padu.

“Adakah ini akan dijadikan alasan kepada kerajaan? Kerajaan akan kata bukan tak nak bagi tetapi pihak yang berkenaan yang sepatutnya mendaftar, tidak mendaftar, dipersalahkan balik,” ujarnya.

Justeru, tegas beliau perkara itu perlu ditangani supaya rakyat tidak menjadi mangsa sehingga menyebabkan mereka tidak menikmati apa yang sepatutnya diperolehi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: